Banjir kilat landa kawasan gempa bumi, ragut 14 nyawa
Arus kuat hanyutkan khemah dan kediaman sementara

ISTANBUL, 23 Syaaban 1444H, Khamis – Kira-kira 14 penduduk yang tinggal di dalam khemah dan rumah kontena di wilayah yang dilanda gempa bumi di Turkiye terkorban akibat banjir kilat, semalam.
Situasi itu sekali lagi memberi tekanan kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan menjelang pilihan raya yang mencabar.
Sehingga kini beberapa lagi dihanyutkan arus kuat, selepas jalan raya bertukar menjadi sungai berlumpur di wilayah yang dilanda gempa sekuat 7.8 skala Ritcher.
Hujan lebat di kawasan berkenaan sejak Selasa dan perkhidmatan cuaca menjangkakan hujan akan berterusan beberapa hari.
Pegawai penyelamat dan bomba memaklumkan banjir telah mengorbankan 12 penduduk di Sanliurfa kira-kira 50 kilometer di utara sempadan Syria.
Manakala dua lagi termasuk bayi berusia setahun turut menjadi mangsa korban di wilayah Adiyaman.
Rakaman video menunjukkan arus kuat menghanyutkan beberapa buah kereta dan kediaman sementara yang dibina khas untuk mangsa gempa bumi.
Sementara itu, Pejabat Gabenor Sanliurfa berkata, banjir juga telah memasuki aras satu di sebuah hospital utama di wilayah tersebut.
Berdepan pilihan raya yang sukar pada 14 Mei depan, Erdogan berdepan reaksi orang ramai yang kecewa dengan respons kerajaan yang dianggap gagal ketika bencana terbesar sepanjang dua dekad pemerintahannya.
Erdogan bagaimanapun memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan tiada negara yang mampu menangani bencana secepat mungkin. – Agensi