Israel guna istilah baharu Judea dan Samaria ganti Tebing Barat
Cubaan untuk 'halalkan' penduduk haram Israel di wilayah Palestin

TEBING BARAT, 23 Syaaban 1444H, Khamis – Negara haram Israel menggunakan istilah Gabenor Judea dan Samaria dalam dokumen bagi merujuk Tebing Barat sebagai usaha untuk melenyapkan wilayah itu daripada penduduk Palestin.
Menurut laporan Arab News yang memetik pakar Palestin dalam Hal Ehwal Israel, Ismat Mansour, beliau mendedahkan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich telah melaksanakan rancangan merampas Palestin selepas menduduki Tebing Barat.
Sekiranya Zionis mengambil alih Tebing Barat, ia mungkin tidak menjejaskan kehidupan tiga juta rakyat Palestin, tetapi sudah tentu akan menjejaskan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dari segi politik dan undang-undang.
Bulan lalu, Smotrich menulis tweet bahawa “Rakyat Judea dan Samaria tidak akan lagi menjadi warga kelas kedua di bawah kerajaan tentera.”
Sementara itu, tentera Israel telah menggunakan “Judea dan Samaria” sebagai bahagian serantau Pusat Israel untuk Tebing Barat sejak 1988, istilah itu secara beransur-ansur dinormalisasi dalam penggunaan awam.
Seorang pemandu Palestin mengatakan bahawa tiket yang dikeluarkan oleh polis trafik Israel apabila mereka melakukan perjalanan antara bandar-bandar Palestin turut mempunyai logo Gabenor Judea dan Samaria.
Malah, papan tanda di sekitar bandar juga ditukar dengan nama baharu tersebut.
Bagaimanapun sehingga kini istilah “Judea dan Samaria” oleh Israel tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Malah Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (PBB) dan kebanyakan negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), merujuk kawasan itu sebagai wilayah Palestin.
Manakala rakyat Palestin pula menyifatkan penggunaan tersebut sebagai penafian sejarah dan budaya selain cubaan untuk menghalalkan pendudukan Israel di kawasan milik mereka. -Agensi