Berita UtamaIstimewa

Keputusan mahkamah tepat, tolak SIS perjuangan mereka bercanggah Islam

Meski dakwa pejuang hak wanita, tapi berasas feminisme dan liberalisme

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 23 Syaaban 1444H, Khamis – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menzahirkan kesyukuran dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan Sisters In Islam (SIS Forum) untuk membatalkan fatwa mengisytiharkan organisasi itu sebagai sesat dan menyeleweng.

Keputusan mahkamah itu sekali gus memberi makna fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 2014 bahawa SIS sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam masih lagi sah.

Ketua Wanita Isma, Dr Suriani Sudi berkata, sebagai pejuang hak wanita yang sebenar, beliau merasa bersyukur atas keputusan yang memihak kepada Fatwa Selangor.

Wanita Isma merasakan ini adalah hadiah Hari Wanita buat tahun 2023, katanya.

“Keputusan SIS sebagai kumpulan yang sesat menunjukkan perjuangan mereka mesti ditolak kerana tidak selari dan bertentangan dengan Islam.

“Walaupun mereka mendakwa mereka pejuang hak wanita, tetapi hakikatnya perjuangan mereka berasaskan kepada feminisme dan liberalisme.

“Mereka telah mengundur ke belakang apabila berlebihan dalam menuntut hak wanita setaraf dengan lelaki tanpa melihat kepada sifat dan kejadian fitrah wanita,” katanya kepada Ismaweb.net.

Dr Suriani juga berkata, pertubuhan itu keterlaluan apabila mendakwa Islam merendahkan wanita apabila diwajibkan menutup aurat, mentaati suami dan membenarkan poligami.

“Peliknya, mereka tidak pula melihat kepada maruah, hak dan kedudukan wanita yang Islam yang diangkat martabatnya,” katanya.

Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum, pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mereka menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan Kerajaan Selangor sebagai responden.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button