Berita Utama

Iklan ziarah gereja masih belum dipinda untuk belia bukan Islam

Selangor larang program cuba pujuk orang Islam minat agama lain

BANGI, 24 Syaaban 1444H, Jumaat – Sebarang program yang dibuat bagi memujuk atau mempengaruhi orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama lain dilarang di Selangor.

Bahkan, perkara itu juga menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Demikian tegas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof susulan merujuk kepada iklan dan risalah yang diedarkan melalui media sosial serta elektronik baru-baru ini, berhubung program ‘Projek Artikel 11 Jom Ziarah’ anjuran Impact Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau berkata, program itu menjemput para belia di Malaysia yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai agama berlainan termasuk acara di Gereje The Church of Our Lady of Lourdes, Klang esok.

“Daripada penelitian kepada iklan dan risalah yang diedarkan ini, MAIS berpandangan program ini mempunyai unsur-unsur bagi menarik minat belia khususnya belia Islam untuk mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain daripada agama Islam.

“Program sebegini jika dibenarkan untuk dianjurkan boleh mempengaruhi pemikiran para belia Islam secara halus dan tanpa disedari untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain dari agama Islam yang sedang dianuti oleh mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, MAIS berpendirian bahawa kesefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat sangat penting untuk memastikan keharmonian serta keamanan Malaysia.

Bagaimanapun, program mempelajari agama lain selain Islam di mana-mana gereja atau rumah ibadat memerlukan kepada kawalan serta sekatan tertentu untuk memastikan tiada elemen memujuk orang Islam terpengaruh dan minat agama lain, termasuk tiada penglibatan orang Islam dalam ritual agama lain.

“MAIS menyeru semua masyarakat agar menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun Fasal 11(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak tiap-tiap orang untuk menganuti dan mengamalkan agama masing-masing, namun ia masih tertakluk kepada undang-undang yang digubal untuk mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa doktrin dan kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam sepertimana yang dijelaskan dalam Fasal 11(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, pihaknya turut mengambil maklum kenyataan terbaharu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Parlimen bahawa program yang asalnya terbuka kepada semua orang, kini ditukar dan dihadkan kepada para belia bukan Islam sahaja.

“Namun semakan pihak MAIS setakat ini mendapati bahawa risalah dan iklan yang telah diedarkan di media-media sosial dan elektronik masih tidak dipinda bagi menunjukkan program ini dikhaskan hanya untuk orang bukan Islam.

“MAIS mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan kepada mana-mana penganjur sama ada daripada sektor awam, pertubuhan bukan kerajaan atau badan lain yang berhasrat mengadakan aktiviti dan program atas dasar perpaduan dan keharmonian agar perlu lebih berhati-hati dan menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat di negara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button