Jangan semai kebencian guna sentimen kaum, agama: PM
Kerajaan takkan kompromi jika ganggu-gugat keharmonian negara

KUALA LUMPUR, 24 Syaaban 1444H, Jumaat – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran terhadap sebarang cubaan atau tindakan yang boleh menganggu-gugat keharmonian negara.
Beliau telah mengarahkan pihak berkuasa keselamatan supaya berwaspada terhadap mana-mana individu yang cuba menyemai benih kebencian dengan menggunakan sentimen perkauman dan agama.
Menurut Anwar, beliau tidak membenarkan sebarang percubaan untuk mengapi-apikan satu kaum dengan yang lain.
“Saya telah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan berwaspada kerana orang tertentu yang terdesak atau berasa tercabar akan menggunakan sentimen ini, dan orang dan rakyat miskin diupah untuk menimbulkan kekacauan.
“Saya dan Kabinet akan memastikan keamanan dan keharmonian semua kaum dan agama terpelihara dan kita tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan yang boleh mengganggu-gugat keamanan negara,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, hari ini.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap perbuatan atau kenyataan melampau, demi menjaga keharmonian kaum dan agama di negara ini.
Dalam perkara berasingan berhubung kenyataan anggota EXCO Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bahawa orang Islam di negeri itu tidak dibenarkan menyertai aktiviti di rumah ibadat bukan Islam, Anwar berkata, perkara itu perlu diselesaikan melalui wacana tanpa campur tangan kerajaan.