Junta Myanmar sengaja halang bantuan kemanusiaan: PBB
Krisis politik kritikal, hak asasi manusia meningkat jika tiada tindakan

NEW YORK, 24 Syaaban 1444H, Jumaat – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa junta Myanmar sengaja menghalang kemasukan makanan, dana, maklumat dan menyasarkan orang awam sebagai hukuman kolektif.
“Selepas tiga tahun junta mengambil alih pentadbiran negara, rakyat semakin tertekan dan keadaan semakin huru-hara,” kata Duta Khas PBB ke Myanmar, Noeleen Heyzer pada Perhimpunan Agung yang disertai 192 negara anggota.
Heyzer berkata, junta memperluaskan undang-undang ketenteraan ke 47 perbandaran dan menggunapakai semula undang-undang 1977 yang membenarkan orang awam menjadi tentera.
“Generasi muda kini berdepan kekecewaan dan merasakan mereka tiada pilihan lain dan terpaksa mengangkat senjata untuk melawan tentera,” katanya.
Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan pemenang Hadiah Nobel Aung San Suu Kyi sejak 1 Februari 2021.
Pertempuran hebat berlaku di kawasan yang tidak terjejas konflik sebelum ini dan menyebabkan ramai orang awam menjadi mangsa.
Situasi berkenaan merumitkan lagi operasi kemanusiaan untuk menghantar bantuan dan menyelamatkan nyawa rakyat Myanmar.
Menurut Heyzer, penangkapan terhadap pemimpin politik semakin rakus, selain tahanan wanita pula berdepan ketakutan gangguan seksual dan keganasan.
Heyzer menjangkakan keadaan semakin parah, penderitaan rakyat semakin berlipat ganda dan krisis politik terus kritikal serta hak asasi manusia akan meningkat, sekiranya tiada tindakan segera di ambil.
“Kita mesti menghantar isyarat bahawa keganasan mesti ditamatkan dan sokongan suara demokrasi perlu diperkukuhkan bagi membantu masyarakat Myanmar keluar dari segala masalah ini,” katanya. – Agensi