Berita Utama

Proses kembalikan sesi sekolah ke Januari ‘makan’ masa: iGuru

Syor KPM dapatkan pandangan kesatuan, NGO pendidikan dan ibu bapa

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 24 Syaaban 1444H, Jumaat – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan, berhubung usaha mengembalikan semula sesi persekolahan bermula Januari seperti sebelum pandemik COVID-19.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, kementerian boleh mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak terutama wakil kesatuan, NGO pendidikan, majlis guru besar, majlis pengetua dan ibu bapa.

Bagaimanapun, beliau tetap akur bahawa perubahan ke arah takwim akademik sesi persekolahan seperti dahulu memerlukan masa beberapa tahun lagi untuk dilaksanakan dan mungkin perlu dibuat secara berperingkat.

“Buat masa ini kita terima pelaksanaan jadual sekolah sedia ada dan proses untuk kembalikan semula (sesi persekolahan) ke Januari perlukan masa.

“Ini kerana perubahan hari belajar tertakluk kepada Pekeliling KPM yang menetapkan jumlah hari tertentu untuk dicukupkan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan KPM yang belum bercadang untuk mengembalikan sesi persekolahan bermula Januari dalam tempoh terdekat.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, antara pertimbangan yang perlu diambil kira adalah berkaitan Akta Pendidikan 1996 yang memerlukan sesi persekolahan selama 190 hari setahun, selain membabitkan pengorbanan cuti.

“Sebenarnya boleh kembali (sesi persekolahan pada Januari) dengan cepat dengan mengorbankan cuti-cuti yang ada.

“Kalau nak kembalikan semula, kena kekalkan 190 hari dan anjak sedikit demi sedikit. Ia buka satu perkara yang boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat dan akan mengambil beberapa tahun dengan pengorbanan semua pihak,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee percaya, isu guru atau ibu bapa harus mengorbankan cuti mereka tidak berbangkit kerana ia lebih membabitkan kepada pengurusan dan perancangan keluarga bercuti.

“Lagipun sesi cuti persekolahan sedia ada lebih fleksibel dan mengambil kira cuti-cuti umum besar negara seperti perayaan dan sebagainya.

“Sekolah atau pentadbir perlu memberi ruang guru berehat dan menguruskan penggiliran guru bertugas dengan sebaiknya dan tidak mengambil masa cuti guru yang diperuntukkan kepada mereka.

“Ia bagi mengelakkan guru tertekan dan aspek kesejahteraan mental dan emosi guru perlu diberikan perhatian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button