Wanita BERJASA kutuk Festival Fesyen Melbourne hina Islam
Peragaan baju tanpa lengan dengan kalimah Allah dianggap biadab

BANGI, 24 Syaaban 1444H, Jumaat – Wanita BERJASA mengutuk sekeras-kerasnya sebarang perbuatan menghina agama Islam seperti yang berlaku di Festival Fesyen Melbourne, baru-baru ini.
Ketua Wanita BERJASA, Dr Fadhilah Ashari berkata, perbuatan menyerang agama Islam, termasuk menggunakan medium seni adalah satu bentuk gerakan tersusun yang dirancang serta mungkin ditaja oleh pihak tertentu.
Beliau berkata, umat Islam seharusnya bersatu dalam mempertahankan agama dan permohonan maaf yang dikeluarkan tidak sepatutnya menjadikan kita lembut hati menghadapi niat jahat pihak terbabit.
“Kita faham bahawa walaupun Islam adalah agama yang mengiktiraf hak beragama setiap orang, tetapi menjadi tanggungjawab umat Islam mempertahankan Islam daripada serangan musuh-musuh.
“Perlu jelas bahawa kita ada maruah yang perlu dipertahankan dan menjadi tanggungjawab untuk kita menangkis segala tohmahan yang bertujuan untuk mencemarkan imej Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas foto dan video model yang memperagakan persalinan memaparkan kalimah Allah ketika Festival Fesyen Melbourne pada 3 hingga 11 Mac lalu.
Pertunjukan itu telah mencetuskan kemarahan orang ramai selepas jenama ‘Not A Man’s Dream’ memperagakan dua reka bentuk pakaian ‘jumpsuit’ tanpa lengan, namun menutup sebahagian kepala dalam fabrik lut sinar dipenuhi kalimah Allah.