ISMA perkenal konsep ‘ummah fadhilah’ menuju Malaysia berdaulat
Hidupkan semula peradaban Islam dalam minda dan penghayatan, ganti konsep bangsa diperkenal Barat

Oleh Athirah Huda Zalhe
SEPANG, 25 Syaaban 1444H, Sabtu – Era penjajahan Barat sudah sekian lama memasakkan konsep negara moden dan ideologi pelbagai ke dalam minda ummah di Malaysia, hingga akhirnya diterima sebagai sistem bernegara serta bermasyarakat.
Kesannya, usaha untuk mempamerkan model negara Islam mulai tercemar dengan konsep ‘negara moden’ yang kononnya Islam.
Keadaan ini menyebabkan ‘ummah Islamiah’ yang sepatutnya bersemai di watan ini diganti kepada bentuk ‘bangsa’ oleh definisi Barat.
Atas dasar itu, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengambil peranan yang paling asas untuk membangunkan ‘ummah fadhilah’ menuju ke arah Malaysia kuat, maju dan berdaulat.
Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, usaha itu selaras dengan hasrat ISMA untuk negara mencapai status Malaysia Unggul 2040 dan membangunkan peradaban mengikut acuan tersendiri.
“Sebagai sebuah pertubuhan Islam, tanggungjawab membangunkan semula peradaban ini tidak boleh dipikul oleh ISMA sahaja, tetapi seluruh gerakan dakwah yang lain.
“Bagi mencapai sasaran tersebut, banyak perkara yang perlu dilaksanakan oleh negara, ISMA mahu mengambil peranan yang paling asas iaitu pembinaan ummahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Perwakilan ISMA kali Ke-18 dan sambutan 25 tahun Jubli Perak penubuhannya, di Hotel Movenpick di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, ISMA ingin menghidupkan semula mafhum ummah Islamiah di dalam minda dan penghayatan, sekali gus menggantikan konsep bangsa yang diperkenalkan Barat.
Beliau berkata, ‘ummah fadhilah’ adalah warga yang tinggi nilai dan bertamadun dengan ciri-ciri beragama dalam pegangan, pemikiran dan amalan iaitu ruh tadayyun.
“Ia juga kebersamaan dalam membangunkan ummah melalui pembinaan institusi sosial, pempengaruh yang berani dan berwibawa (qudwah hasanah) dan bermaruah serta izzah membangunkan peradaban Islam.
“Selain itu, ciri ummah fadhilah ialah bersatu padu dan bermuafakat membina kekuatan (bunyan marsus), ummah pencipta yang merintis kemajuan, ummah dengan hidup yang berkualiti – sihat, sejahtera dan produktif serta berdikari dan bebas pengaruh asing (kemandirian),” katanya.