Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Sekat Proklamasi Melayu bukti kerajaan takut kuasa tergugat

'Pemimpin Melayu konon mahu bela orang Melayu rupanya takut bayang-bayang sendiri'

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI,27 Syaaban 1444H, Isnin – Tindakan menyekat majlis pelancaran ‘Proklamasi Orang Melayu’ semalam, membuktikan kerajaan takut kuasa mereka tergugat.

Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim berkata, tidak mungkin majlis yang menghimpunkan orang Melayu itu dihalang dan disekat dengan cara tidak matang sekiranya kerajaan hari ini telus.

Beliau mendakwa, tindakan itu jelas membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang kedudukannya tergugat, memandangkan kuasa yang diperoleh bukan hasil usahanya semata-mata, tetapi ‘dipayungi’ pihak lain daripada parti bukan Melayu.

“Sepatutnya sebagai pemimpin utama negara, beliau (Anwar) bangga dengan penyatuan orang-orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk dan tuan rumah kepada negara ini bersatu demi membela tanah air sendiri.

“Namun sayangnya sangkaan kita terbalik, apabila pemimpin Melayu yang selama ini bercakap mahu membela nasib orang Melayu rupanya takut dengan bayang-bayang kerana bimbang kuasanya tergugat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pembatalan majlis pelancaran ‘Proklamasi Orang Melayu’ anjuran Sekretariat Tanah Air yang sepatutnya berlangsung jam 3 petang semalam.

Bagaimanapun, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu terpaksa dibatalkan selepas tiga kali bertukar tempat penganjuran apabila pihak pengurusan dewan membatalkan tempahan penganjur tanpa sebarang alasan.

Penasihat Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang medianya mendakwa, kerajaan takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga membawa kepada pembatalan program untuk kali keempat.

Mengulas lanjut, Zamani berkata, sebagai Perdana Menteri, Anwar sepatutnya bangga apabila penyatuan orang Melayu berlaku, memandangkan ini kekuatan yang perlu diteruskan demi memajukan tanah air sendiri.

Beliau turut bimbang perjuangan Anwar hari ini seperti jelmaan ideologi ‘Malaysian Malaysia’ yang lebih membawa kepentingan peribadi semata-mata, berbanding keutamaan membangunkan negara.

“Kita yakin penyatuan orang Melayu ini akan berjaya memandangkan banyak saluran boleh digunakan hari ini terutama media sosial dalam menjayakan kempen penyatuan orang Melayu.

“Malah, rakyat hari ini semakin matang mampu menilai perbuatan tidak betul yang dilakukan oleh pemimpin yang selama ini dianggap mampu mengubah dan membela nasib orang mereka,” katanya.

Pautan berkaitan;

Pihak sekat Proklamasi Melayu zalim, takut bayang-bayang sendiri: Tun M

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button