Arab Saudi umum beri kerakyatan pada warga asing terpilih
Anak dari ibu warga tempatan boleh mohon jika tepati kriteria

RIYADH, 27 Syaaban 1444H, Isnin – Arab Saudi mengumumkan akan memberi kerakyatan kepada beberapa warga asing terpilih, berdasarkan undang-undang baharu yang diluluskan baru-baru ini.
Pada Januari, dekri diraja dikeluarkan untuk meluluskan pindaan Perkara 8 Undang-Undang Kewarganegaraan Saudi, yang membenarkan Perdana Menteri dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman memberi kerakyatan atas cadangan Menteri Dalam Negeri.
Keputusan itu diumumkan di akaun rasmi Twitter Makkah Al-Mukarramah, sebagai memetik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.
Mengikut pindaan itu, seseorang yang dilahirkan oleh ibu berstatus warganegara Arab Saudi dan bapa warga asing boleh memohon kerakyatan apabila memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Dalam ketetapan, individu mestilah berumur 18 tahun ke atas, fasih berbahasa Arab, mempunyai kelakuan dan tingkah laku baik serta tidak dipenjarakan selama tempoh lebih daripada enam bulan.
Bagaimanapun, beberapa aktivis bimbang dengan pindaan undang-undang itu, kerana mendakwa akan menyukarkan lagi wanita Arab Saudi mendapatkan naturalisasi bagi anak-anak mereka dengan lebih banyak halangan undang-undang.
Setakat ini, anak-anak yang berstatus bapa warga Arab Saudi akan diberi kewarganegaraan secara automatik seperti di kebanyakan negara di rantau berkenaan.
Pada November 2021, kerajaan itu meluluskan dekri diraja yang memberikan kewarganegaraan kepada ‘pakar dan bakat global yang luar biasa,’, sekali gus menjadi negara Teluk kedua selepas UAE yang memperkenalkan program naturalisasi rasmi untuk warga asing dengan kemahiran khusus. – Agensi