Berita Utama

Fasa peralihan monsun dijangka mula Khamis

Hujan lebat, angin kencang dalam jangka masa singkat

KUALA LUMPUR, 27 Syaaban 1444H, Isnin – Fasa peralihan monsun dijangka bermula 23 Mac ini dan berterusan sehingga pertengahan Mei, menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula sejak 7 November 2022. 

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan berkata semasa fasa itu, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak. Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya. 

Orang ramai diingatkan agar lebih berwaspada ketika tempoh tersebut dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia. 

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan dengan menghubungi Hotline MetMalaysia di talian 1-300-22-1638.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button