Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Terengganu mansuh arahan pelitup muka di masjid, surau

Ketetapan dibuat selaras perkembangan semasa kes COVID-19

KUALA TERENGGANU, 27 Syaaban 1444H, Isnin – Semua jemaah masjid serta surau di Terengganu tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka mulai hari ini.

Arahan pemansuhan ketetapan tersebut dibuat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan perintah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penarikan arahan itu dibuat selepas melihat perkembangan semasa kes COVID-19 yang semakin rendah.

“Pada 7 September 2020, MAIDAM telah mengeluarkan arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam kalangan jemaah masjid serta surau dan masih berkuat kuasa sehingga hari ini.

“Bagaimanapun, selepas meneliti keadaan semasa dan panduan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, kita tarik balik arahan tersebut dan jemaah punya pilihan untuk terus pakai ataupun tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.       

Bagaimanapun beliau berkata, bagi jemaah yang mempunyai gejala seperti batuk, demam dan selesema, mereka masih digalakkan memakai pelitup muka untuk mengelak jangkitan kepada orang lain.

Menurutnya, Sultan Mizan turut menitahkan supaya rakyat terus menjaga kebersihan dan kesihatan diri serta keluarga masing-masing terutama menjelang Ramadan dalam masa beberapa hari lagi.

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T dengan perkembangan semasa yang semakin baik.

“Bagaimanapun baginda mahu rakyatnya tidak leka dan terus mengambil berat hal-hal kebersihan demi kesihatan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button