Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Veteran UMNO gesa siasat dakwaan Hamzah Zainuddin

Dakwaan miliki fail pemimpin kerajaan serius, libat keselamatan negara

GEORGE TOWN, 27 Syaaban 1444H, Isnin – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff menggesa pihak berkuasa menyiasat bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berikutan membuat komen menggambarkan beliau mungkin bersubahat menutup salah laku ahli politik ketika memegang jawatan itu.

Ini berikutan pendedahan pemimpin pembangkang itu baru-baru ini, di mana Hamzah mendakwa memiliki fail berkaitan beberapa pemimpin kerajaan ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.

Hamzah dipetik portal berita, memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak mencari kesalahan pemimpin Perikatan Nasional (PN) kerana beliau juga boleh melakukan perkara sama terhadap mereka.

Beberapa peguam berkata, kenyataan Hamzah membayangkan bahawa beliau mengetahui mengenai salah laku, sekali gus mempersoalkan mengapa tidak bertindak ke atasnya sewaktu bergelar menteri.

Mereka berkata, menyembunyikan maklumat mengenai jenayah adalah satu kesalahan dan pihak berkuasa harus menyiasat Hamzah.

Selari dengan pandangan itu, Yussof seperti dilapor NST, hari ini turut menyokong bahawa kenyataan Hamzah perlu disiasat.

“Ini kerana dakwaan ini serius dan melibatkan keselamatan negara. Sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, beliau tidak sepatutnya melindungi penjenayah dan semua fail yang berkenaan harus berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa, seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Hamzah ternyata tidak melaksanakan mandat sebagai menteri Kabinet seperti yang dinyatakan dalam ‘sumpah khidmat’ yang dibuatnya di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi dia patut disiasat atas kesilapan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Yussof menggesa pihak berkuasa turut menyiasat sama ada dakwaan Hamzah itu benar.

“Sekiranya dakwaan itu benar, maka mereka yang melakukan kesalahan itu tidak sepatutnya dibiarkan bebas.

“Bagaimanapun, jika dakwaan itu palsu, Hamzah harus didakwa kerana mengganggu fail kerajaan dan didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button