Berita Utama

Wujudkan undang-undang khas haram dana politik dari luar

Amalan politik wang boleh 'bunuh' potensi pemimpin muda: Ku Li

BANGI, 27 Syaaban 1444H, Isnin – Kerajaan digesa mewujudkan satu undang-undang khas bagi melarang semua pemimpin dan parti politik menerima sumbangan dana daripada luar negara.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sumbangan yang disalurkan hanya akan mengundang amalan politik wang yang lebih berleluasa.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang yang longgar dan lemah menjadi sebab politik wang terus menular.

Justeru, kata bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu, sudah tiba masanya kerajaan bertegas dan melakukan penguatkuasaan yang ketat bagi mengekang masalah politik wang.

“Nombor satu kita kena haramkan penerimaan wang daripada luar negara oleh mana-mana pihak individu, pertubuhan, sukarela ataupun parti politik.

“Kita tak mahu lagi orang mendapat duit daripada mana-mana dana daripada mereka yang anti negara kita, yang anti kerajaan kita untuk membiayai aktiviti politiknya semata-mata kerana nak rosakkan demokrasi kita dan nak menumbangkan kerajaan kita secara yang tidak baik,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Pada masa sama, Tengku Razaleigh turut mencadangkan pengharaman kutipan derma oleh mana-mana pihak bagi tujuan politik.

“Ini bererti tidak ada lagi peluang orang nak cari duit kononnya untuk parti politik mereka tetapi masuk poket masing-masing dan dia dapat mewujudkan dana dan dana itulah yang akan digunakan untuk membunuh semua (musuh) politik dia dalam parti dan luar parti… dan saya rasa sampai masa kita bertegas hal ini,” katanya.

Menurutnya, banyak kesan tidak baik apabila politik wang diamalkan termasuklah ‘membunuh’ potensi pemimpin muda.

Katanya, isu politik wang harus ditentang secara berterusan dan berharap rakyat juga akan menyokong cadangan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button