Pendapat

ISMA sebagaimana kusaksikan

Gerakan Islam ini tak ketandusan pendidik ummah, bangsa

TANGGAL 18 Mac 2023, bertempat di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA saya telah sempat menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-18 sebagai pemerhati. Alhamdulillah menjelang baki usia yang diizinkan oleh Allah Azza Wa Jalla, saya masih berpeluang untuk menyaksikan proses tumbesaran organisasi yang masih kukuh ini sejak ia di“lahirkan” lebih kurang 25 tahun dahulu.

Ini adalah kali ketiga saya membuat coretan tentang hari ulangtahun ISMA. Yang pertama ialah pada 10 Disember 2016:
https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/pfbid035XSXwj42NRqkXKkh7nHYKbyy3VpPp8wgKxD7is3GtaFJT7LLug8yh7J55LHErfAgl

Manakala yang kedua ialah pada 17 Mac 2017, iaitu hampir genap 6 tahun lalu:
https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/pfbid02Q8SMXJjW6LuM8L95gtof6DHeinMcHjpe4bASFqjANvV4tLSKyJTuNkudZXTxKAQPl

Dari teduhan pepohonan pine di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Kepong pada awal tahun 1997, lahirlah cetusan untuk menubuhkan ISMA. Kini, ‘benih ajaib’ tersebut telah membesar dan menjadi ‘dewasa’ dengan cabang dan rantingnya mencapah ke merata arah tetapi masih diikat kemas oleh akar tunjang yang membumi kukuh.

ISMA bukanlah pertubuhan bukan-kerajaan pertama yang saya menjadi anggotanya kerana sebelum tertubuhnya ISMA, saya merupakan ahli kepada organisasi bernama HALUAN, yang saya masih mempunyai rasa hormat yang tinggi dan tidak terbalas kepadanya.

Apapun, pencarian untuk mencapai kematangan dan kepuasan dalam memahami makna dan hakikat di sebalik keterlibatan di dalam Islam akhirnya membawa saya ke pangkuan ISMA, satu keputusan yang saya tidak pernah menyesal untuk terlibat di dalamnya. Dan dalam konteks inilah saya ingin berkongsi sedikit pengamatan dan ‘curhat’ agar para pembaca dapat mengambil apa-apa manfaat sekiranya ada dan bermuhasabah sekiranya perlu.

Saya tidak berani mengaku bahawa apa yang saya tulis ini merupakan interpretasi atau tafsiran yang paling tepat tentang misi, objektif, tujuan dan matlamat ISMA, tetapi sekadar satu perkongsian dari satu tubuh yang belum lagi menyempurnakan seluruh amanah yang digalas dan banyak kewajiban yang terabai. Semoga Allah mengampuni saya di atas segala kecuaian dan keculasan ini.

Pertama sekali, barisan kepimpinan yang dilantik baru-baru ini terdiri dari mereka yang barangkali belum lahir atau masih kanak-kanak/remaja ketika ISMA ditubuhkan. Ini menjadi satu testimoni yang sangat jelas bahawa teraju dan arahtuju yang dirintis oleh para pendahulu pertubuhan ini sudah ada pewarisan dan penerusan kepimpinan.

Ini juga satu petanda bahawa dasar dan tunggak perjuangan pertubuhan ini akan memasuki fasa dan cabaran-cabaran baru yang mungkin tidak dijangka atau di‘ramal’ oleh para perintisnya.

Di sinilah terletaknya kebijaksanaan dan kematangan organisasi ini untuk meletakkan tali kendali pertubuhan kepada generasi muda setelah puluhan tahun ‘pakcik-makcik’ mereka mencurahkan segenap ikhtiar dan usaha untuk menggariskasarkan langkah-langkah perjuangan dan strategi serta prasarana infrastruktur yang sesuai dan munasabah untuk diaplikasikan pada masa hadapan.

Generasi muda adalah kumpulan insan yang ‘robust’, ‘visionary’, bersemangat dan mempunyai keazaman yang tinggi. Dan ISMA perlu dijulang oleh tangan-tangan perkasa yang mampu mengharungi liku-liku perjalanan panjang ini untuk tempoh puluhan tahun lagi, sebagaimana ia telah didokong oleh generasi awal untuk tempoh yang memakan puluhan tahun juga.

Inilah dia ‘benih’ yang perlu ditanam, disemai, disiram dan dibajai dengan penuh perhatian, meskipun ketibaan Hari Kiamat semakin dekat. Hakikat ‘ancaman’ yang menggoncangkan hati setiap makhluk bernyawa dan yang ingin menyesatkan mereka tetap sama, dan ancaman-ancaman ini tetap akan wujud puluhan tahun akan datang sebagaimana ia telah wujud puluhan tahun yang lampau. ‘Ancaman’ ini sedang mengintai peluang untuk menjahanamkan ‘benih’ yang baru hendak tumbuh dan berpucuk.

Sebab apa? kita mungkin bertanya. Jawapannya ialah kerana ‘benih’ ini mewarisi ciri, sifat dan jatidiri ‘ibubapa’ mereka, yang tetap konsisten, tegas berprinsip, tidak bertolak ansur dan memiliki keberanian yang dicemburui. Sepanjang kewujudannya, saya menyaksikan hakikat-hakikat ini, yang meninggalkan pelbagai kesan pada banyak pihak. Ahli yang tidak tahan – akan kecundang dan meninggalkan medan, mereka yang irihati – akan mencipta pelbagai fitnah dan tohmah, yang tetap meyakini – akan terus istiqamah dan pihak-pihak yang memerhatikan – akan terus memerhatikan.

Menjadi ahli ISMA bukan satu kelebihan (advantage) atau keistimewaan (privilege). Ia menuntut banyak perkara dari anda semua. Anda sebenarnya berada dalam situasi ‘on-call’ pada setiap masa. Seolah-olah anda telah menandatangani satu ‘Sijil Mati’ siap-siap sebaik-baik sahaja anda bergelut dalam medan yang ISMA ceburi. Ia adalah satu kerjaya seumur hidup yang tidak semua manusia terpilih untuk menggalasnya. Namun di situlah terletaknya satu kenikmatan dalam beramal.

Justeru tu, antara penawar dan penenang jiwa adalah memupuk sifat keikhlasan dalam beramal. Keikhlasan ini tidak akan terlahir dalam sekelip mata kerana ia akan selalu diuji sebagaimana umat Islam Palestin diuji keikhlasan dan keteguhan sikap mereka puluhan tahun lamanya, yang diwarisi oleh para pendahulu yang lebih awal menghadapi proses ujian hati ini.

Kemudian, penawar selanjutnya ialah ukhuwwah, berkasih sayang dan saling cinta mencintai atas dasar yang menepati kehendak Syara’. Sifat-sifat ini tidak boleh dizahirkan secara palsu (fake), ia tidak boleh diukur melalui nilai wang ringgit (meskipun saling memberi hadiah adalah digalakkan) dan ia tidak harus bersifat sementara atau tercipta atas faktor kedaerahan, warna kulit, budaya ataupun minat/hobi yang sama.

Kasih sayang, ukhuwwah dan kecintaan merupakan satu natijah semulajadi yang Allah akan kurniakan pada ahli-ahli yang ikhlas kepadaNya ketika beramal dan bergelut dengan agenda ISMA. Sudah tentu agenda ini perlu bertitik tolak dari keimanan yang kukuh kepada Pencipta, keyakinan yang mendalam pada manhaj yang dipegangi dan keteguhan sikap dan pendirian di sepanjang perjalanan.

Cinta, kasih sayang dan ukhuwah adalah masalah hati, emosi dan perasaan. Ia lahir dari kelembutan dan rasa empati serta keprihatinan. Ia tidak akan berjaya dilahirkan dari kertaskerja, pembentangan powerpoint, seminar, konvensyen, persidangan, mesyuarat dan perhimpunan. Hanya hati yang kosong dari hasad dengki, iri hati dan kebencian sahaja yang mampu menghayati dan menanggung perasaan-perasaan halus ini.

Meskipun demikian, ISMA bukanlah organisasi yang maksum dan sepanjang pemerhatian saya, ia tidak pernah mendakwa sebagai organisasi yang ‘paling terbaik’ dibandingkan dengan pertubuhan-pertubuhan lain. Ia juga perlu dimuhasabah, di’audit’, dibersihkan dari unsur-unsur ketaksuban dan keujuban baik pada ahli mahupun kepimpinan diperingkat mana sekalipun. Bukan sahaja kerana ini semua perlu demi maslahat dan keselamatan diri sendiri, tetapi juga kerana melakukannya adalah satu kewajiban yang dituntut dan sangat mustahak.

Generasi muda ahli-ahli ISMA tidak perlu takut untuk menyuarakan pendirian atau pandangan mereka kerana ia tidak akan mencacatkan ciri-ciri ‘menghormati’ orang-orang tua mereka dan golongan yang ’tua’ juga harus berlapang dada dan mengasihi ahli-ahli muda yang menegur mereka kerana sifat ini juga tidak akan mengurangi sedikitpun kewibawaan dan kedudukan mereka. Kosongnya pendedahan kepada ‘menangani atau menguruskan konflik’ tidak akan membawa apa-apa kebaikan atau keuntungan, malah mungkin boleh mendedahkan organisasi kepada bahaya keretakan dan perpecahan dari dalam.

Kepada ahli-ahli ‘senior’ ISMA pula, perkembangan ini tidak bermakna bahawa tugas anda semua telah selesai atau perjuangan sudah sampai ke garis penamatnya. Masih banyak lagi ‘kerja’ yang perlu disempurnakan – membimbing generasi muda, mengawasi perjalanan pertubuhan, berkongsi pengalaman-pengalaman hidup dalam bahtera pertubuhan, memberi nasihat dan juga teguran dan yang paling penting mencurahkan segenap perhatian supaya proses pewarisan ini berjalan dengan betuldan menuju matlamat yang ditetapkan.

Sisa-sisa umur yang masih berbaki bukan untuk dihabiskan bersama cucu di rumah atau melayan ‘Me Time’ bersama isteri atau suami atau melakukan perkara-perkara yangb anda semua tidak sempat lakukan ketika masih muda – meskipun semua ini adalah fitrah yang tidak dilarang. Pelbagai pengalaman yang diserap sepanjang perjalanan dan khususnya ketika tubuh badan masih tegap, ketika stamina masih gagah dan ketika jantung masih berdenyut perkasa – adalah untuk menjadi ‘petunjuk-petunjuk sepanjang jalan’ kepada ‘anak-anak’ yang sedang diasuh dan dididik.

Realiti dunia, tuntutan zaman dan rupabentuk kewajipan tidak sama dari satu generasi ke generasi berikutnya. Maka pastikan bahawa masadepan yang dilakar untuk mereka adalah lebih baik dari apa yang anda semua lalui di zaman kepemudaan anda semua satu masa dahulu. Supaya dakwah ini kekal malarhijau (evergreen), bertenaga, kekal teguh dan kukuh walau dipukul gelombang dihempas badai, tidak lekang dek panas tidak lapuk dek hujan. Kerana mereka juga satu hari nanti perlu menanam ‘benih’ baru yang akan mewarisi perjuangan yang sama untuk puluhan tahun lagi.

Saya perlu mengakui bahawa coretan-coretan di atas hanyalah sekadar satu ‘curhat’ yang terdetik di hati saya setelah menghadiri Mesyuarat Agung ISMA baru-baru ini. Saya berharap lebih ramai ahli yang lebih luas pengalaman mereka mampu menyuarakan bisikan-bisikan hati yang bersemadi alam jiwa sebagai satu ‘tazkirah cinta’ yang semakin hilang dari medan pertarungan dengan Jahiliyah dan Kekufuran yang serba mencabar dan meletihkan.

Keluarga besar ISMA tidak ketandusan sosok-sosok keperibadian yang diimpikan sebagai jurubimbing dan pendidik ummah dan bangsa. Giliran anda akan tiba juga satu masa nanti.

Aku harapkan pemuda inilah
yang akan sanggup membangunkan zaman yang baru
memperbaharui kekuatan Iman menjalankan pelita hidayat
menyebarkan ajaran Khatamul-Anbiya’
menancapkan di tengah medan pokok ajaran Ibrahim

Api ini akan hidup kembali dan membakar
Jangan mengeluh jua, wahai orang yang mengadu
Janganlah berputus asa, melihat lengang kebunmu
Cahaya pagi telah terhampar bersih
Dan kembang-kembang telah menyebar harum narwastu

Khilafatul-Ard akan diserahkan kembali ke tanganmu
Bersedialah kamu dari sekarang
Tegaklah untuk menetapkan engkau ada

Denganmulah Nur Tauhid akan disempurnakan kembali
Engkaulah minyak atar itu,
meskipun masih tersimpan dalam kuntum yang akan mekar

Tegaklah, dan pikullah amanat ini atas pundakmu
Hembuslah panas nafasmu di atas kebun ini
Agar harum-harum narwastu meliputi segala

Dan janganlah dipilih hidup ini bagai nyanyian ombak
hanya berbunyi ketika terhempas di pantai
Tetapi jadilah kamu air bah,
mengubah dunia dengan amalmu

Kipaskan sayapmu di seluruh ufuk
Sinarilah zaman dengan Nur Imanmu
Kirimkan cahaya dengan kuat yakinmu
Patrikanlah segalanya dengan nama Muhammad!
“Pesanan Kepada Pemuda Islam”

– Sajak Muhammad Iqbal-

Mohd Lutfi Abdul Khalid
Mantan YDP ISMA Cawangan Sungai Petani
Pengerusi iPeguam

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button