Berita Utama

KPM digesa fokus kebajikan murid keluarga B40

Salur bantuan secara menyeluruh tanpa bezakan politik negeri

BANGI, 28 Syaaban 1444H, Selasa – Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa meneliti keperluan murid daripada keluarga tidak berkemampuan dan terjejas akibat bencana banjir.

Ini berikutan, kos keperluan persekolahan termasuk kadar tambang bas dan harga pakaian seragam sekolah yang naik secara mendadak, memberi kesan kepada banyak keluarga daripada golongan B40.

Atas dasar itu, Ketua Pemudi BERJASA, Nor Azliza Rajian menyarankan segala inisiatif bantuan yang disalurkan secara menyeluruh kepada murid seluruh negara, tanpa membezakan latar belakang politik di mana-mana negeri.

“Kebajikan murid-murid yang datang daripada keluarga ini perlu diberi lebih tumpuan. 

“Persoalannya, adakah kebajikan murid-murid terutama daripada golongan B40 ini benar-benar diambil peduli oleh pihak kerajaan?

“Adakah pertukaran kerajaan menjadi alasan dan masing-masing lepas tangan dengan menuding jari antara satu sama lain,” katanya.

Azliza berkata, kerajaan juga perlu menyelesaikan segera isu kebajikan murid yang tercicir kesan daripada penutupan sesi persekolahan akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.

“Pudarnya minat untuk belajar atas faktor kesempitan hidup perlulah diatasi dengan lebih strategik agar modal insan berkualiti dapat dibangunkan.

“Pemudi BERJASA menggesa isu ini diselami bersungguh-sungguh mengikut kaca mata rakyat yang mharapkan nasib mereka terbela dan kebajikan terjaga.

“Kita bayangkan 20 tahun lagi, murid-murid di sekolah kebangsaan sekarang akan teruskan pengajian ke peringkat pengajian tinggi dengan peratusan lebih baik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button