Berita Utama

Oman benar Israel guna ruang udara, tetapi dilarang mendarat

Kesultanan patuhi perjanjian dalam bidang penerbangan awam

MUSCAT, 28 Syaaban 1444H, Selasa – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam di Kesultanan Oman hanya membenarkan pesawat Israel menggunakan ruang udaranya tetapi dilarang mendarat di wilayah itu.

Presidennya, Naif Al-Abri berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam adalah sebuah institusi teknikal dan komited kepada konvensyen antarabangsa, termasuk Perjanjian Chicago yang ditandatangani pada 1944.

Atas dasar itu, penerbangan Israel hanya boleh melalui ruang udara Oman dan tidak boleh melakukan pendaratan dalam apa jua keadaan. 

“Hanya dikecualikan jika terdapat pendaratan kecemasan yang mematuhi perjanjian antarabangsa,” katanya.

Pada 23 Februari, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Oman mengumumkan, semua syarikat penerbangan awam akan dibenarkan melintasi ruang udaranya, selagi mereka memenuhi syarat yang ditetapkan oleh undang-undang, tanpa merujuk kepada penerbangan Israel.

Langkah itu membolehkan penerbangan Israel, yang mula menggunakan ruang udara Arab Saudi buat kali pertama lapan bulan lalu, memendekkan masa penerbangan ke destinasi di Asia dan juga membolehkan pembukaan penerbangan ke destinasi lanjut, termasuk Australia.

Tindakan itu, yang dimediasi oleh Amerika Syarikat, dibuat tiga bulan selepas Majlis Syura Oman mencadangkan undang-undang  hukuman lebih keras untuk berurusan dengan Israel.

Pada masa sama, wujud undang-undang yang melarang rakyat dan organisasi di Oman  berurusan dengan rakan sejawatan mereka di Israel, atau mereka yang bekerja untuk mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button