Dunia

9 maut gempa bumi gegar Pakistan-Afghanistan

Gegaran dirasai sempadan Tajikistan, cetus tanah runtuh

BANGI, 29 Syaaban 1444H, Rabu – Gempa bumi berukuran 6.5 skala Richter menggegarkan sebahagian besar Pakistan dan Afghanistan pada Selasa, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan nyawa.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan Pakistan, Bilal Faizi berkata, lebih 100 orang dibawa ke hospital di wilayah Khyber Pakhtunkhwa kerana tidak sedarkan diri akibat terkejut dengan gempa bumi berkenaan.

“Mereka yang ketakutan ini rebah, dan sebahagian daripada mereka terkejut kerana gempa bumi,” katanya.

Sementara itu, puluhan yang lain turut dilaporkan cedera dalam gempa bumi yang berpusat di Afghanistan – di mana gegaran turut dirasai sempadan Tajikistan.

Gempa bumi itu mencetuskan tanah runtuh di beberapa kawasan pergunungan sehingga menganggu lalu lintas.

Jurucakap pihak berkuasa pengurusan bencana wilayah, Taimoor Khan berkata, sekurang-kurangnya 19 rumah bata lumpur di kawasan terpencil runtuh.

“Kami masih mengumpul data mengenai kerosakan,” katanya.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa berkekuatan 6.5 magnitud itu terletak 40 kilometer di selatan-tenggara Jurm di kawasan pergunungan Hindukush Afghanistan, bersempadan Pakistan dan Tajikistan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button