Dunia

Israel perketat akses rakyat Palestin di al-Aqsa pada Ramadan

Kenakan permit kepada lelaki berumur 45 hingga 55 tahun

BAITULMAQDIS, 29 Syaaban 1444H, Rabu – Pihak berkuasa pendudukan Israel mengenakan permit kepada semua lelaki Palestin berusia 45 hingga 55 tahun untuk memasuki Masjid Al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan.

Ketetapan itu adalah antara sekatan yang diumumkan rejim Israel ke atas rakyat Palestin berkait dengan akses ke Masjid Al-Aqsa ketika bulan Ramadan bermula minggu ini.

“Wanita dari semua peringkat umur, kanak-kanak lelaki sehingga 12 tahun dan lelaki berusia lebih 55 tahun akan dibenarkan masuk ke Masjid Al-Aqsa sepanjang Ramadan tanpa permit.

“Israel akan mengenakan permit kepada lelaki berumur 45 hingga 55 tahun,” kata Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah, Mejar Jeneral Ghassan Alyan dalam satu kenyataan.

Pegawai Israel juga berkata, kelulusan keselamatan diperlukan bagi rakyat Palestin di Tebing Barat untuk melawat keluarga mereka di 48 wilayah atau bagi orang asing yang mahu melawat mereka di wilayah diduduki itu.

Alyan menegaskan, waktu bekerja juga akan ditambah di pelbagai persimpangan Tebing Barat sepanjang bulan Ramadan.

Berkenaan dengan Semenanjung Gaza, menurut kenyataan itu, Israel mengenakan ‘kuota terhad’ untuk wanita berumur 50 tahun ke atas dan lelaki berusia 55 tahun ke atas, daripada Ahad hingga Khamis bagi memasuki Masjid Al-Aqsa.

Ketegangan meningkat di seluruh Tebing Barat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, di tengah-tengah serbuan berterusan tentera Israel ke atas bandar-bandar Palestin.

Hampir 90 rakyat Palestin terbunuh angkara pengganas Israel sejak awal tahun ini, menurut angka Palestin.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button