Berita Utama

Kembalikan KPLI tangani isu kekurangan guru

Tawar pada graduan berpengalaman dalam bidang lain tapi minat jadi pendidik

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 29 Syaaban 1444H, Rabu – Isu kekurangan guru terutama mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu (BM) boleh ditangani dengan mengembalikan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kepada graduan berpengalaman.

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raouf Husin yakin pengalaman graduan luar daripada bidang pendidikan mampu melahirkan pelajar yang berkualiti.

“Adakan semula pengambilan KPLI kepada graduan yang bekerja dalam tempoh tertentu contohnya lebih lima tahun atau 10 tahun dalam bidang lain tetapi berminat untuk menjadi guru.

“Melalui pengalaman yang ada, pastinya kerjaya guru menjadi lebih mudah, di samping Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan kursus perguruan kepada golongan ini pada musim cuti sekolah.

“Kejayaan pengambilan KPLI terbukti berjaya sebelum ini dan wajar dikembalikan semula supaya isu kekurangan guru dapat ditangani kadar segera,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah, Datuk Pkharuddin Ghazali bahawa KPM kini berdepan kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI) dan Pendidikan Islam.

Dalam isu ini Abdul Raouf berkata, KPM perlu lebih agresif dengan melakukan penyelidikan mengenai kekurangan guru-guru tertentu.

Perkara ini penting supaya kuota guru mencukupi sekali gus tidak membebankan tugas guru.

“Masalah ini tidak timbul sekiranya KPM agresif dan menjalankan tanggungjawab mereka dengan menempatkan graduan pendidikan ke sekolah-sekolah dengan segera,” katanya yang kesal dengan kelemahan KPM itu sendiri.

Beliau turut mengingatkan bahawa KPM tidak boleh bergantung kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dalam ‘menyelesaikan’ masalah kekurangan guru.

Tugas SPP hanya membantu KPM dan bukan menjadi tanggungjawab agensi berkenaan menyelesaikan permasalah berkenaan, katanya.

Beliau yang pernah mengetuai SPP mencadangkan supaya KPM turun padang dan memantau masalah ini terutama melibatkan sekolah-sekolah di luar bandar, kerana dibimbangi kelompongan guru akan menjejaskan perjalanan proses pendidikan di negara ini.

Abdul Raouf turut mencadangkan supaya khidmat guru yang bersara dan berpengalaman digunakan semula melalui perjanjian kontrak secara jangka masa pendek.

“Saya yakin masih ramai guru berpngalaman yang bersara namun masih berminat untuk menabur bakti kepada anak bangsa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button