Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Siti Nuramira masuk wad, kes mahkamah ditangguh lagi

Perbicaraan perlu diteruskan sama ada di hospital atau rumah dia : Hakim

KUALA LUMPUR, 29 Syaaban 1444H, RabuMahkamah Sesyen  memberi amaran kepada Siti Nuramira Abdullah, yang didakwa mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam, bahawa perbicaraan kesnya boleh diadakan di rumah wanita itu atau di wad hospital sekiranya dia berterusan tidak hadir perbicaraannya di mahkamah.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak mengeluarkan amaran itu selepas peguam R. Sivaraj yang mewakili Siti Nuramira, 27, memaklumkan kepada mahkamah tertuduh sekali lagi tidak hadir kerana dimasukkan ke wad di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Semalam, Mahkamah Sesyen sama telah menangguhkan perbicaraan kes kerana wanita itu cuti sakit akibat gastroenteritis.

Nor Hasniah berkata, memandangkan ini kali kedua tertuduh tidak hadir perbicaraan, mahkamah perlu melihat laporan perubatan tertuduh sekiranya dia sekali lagi tidak hadir pada tarikh perbicaraan akan datang.

“Saya menangguhkan kes hari ini dan sambung bicara pada 17 April. Pihak-pihak (pembelaan dan pendakwaan) bersetuju tarikh ganti bicara hari ini dan semalam pada 26 serta 31 Mei ini, manakala jaminan terhadap tertuduh dilanjutkan.

“Ini kali kedua MC (termasuk semalam). Kalau masih lagi MC selepas (17 April) perbicaraan perlu diteruskan sama ada di hospital atau rumah dia (Siti Nuramira),” katanya pada prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Nadia Mohd Izhar.

Pada 13 Julai tahun lepas, Siti Nuramira dalam persembahan pentas di Kelab Komedi Crackhouse dikatakan mengaku sebagai Muslim yang menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum bertindak membuka tudung serta menanggalkan baju kurung, dan perbuatan itu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dalam kalangan penganut agama Islam.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail di sini pada 6 petang 4 Jun 2022 mengikut Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, jika sabit kesalahan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button