Berita Utama

Tun M dakwa kerajaan Anwar berat sebelah pada Melayu

'Ketika saya PM ke-4, tak pernah halang Anwar adakan demontrasi'

BANGI, 29 Syaaban 1444H, Rabu – Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya tidak membenarkan orang Melayu membincangkan masalah yang mereka hadapi.

Menurut Dr Mahathir, ketika menjadi Perdana Menteri keempat, beliau tidak pernah menghalang Anwar mengadakan demontrasi hampir setiap minggu.

“Tetapi sekarang sebagai Perdana Menteri, dia tidak benar langsung orang Melayu bincang masalah yang mereka hadapi.

“Proklamasi yang ditulis tidak salahkan bangsa lain tentang nasib malang mereka. Ia menyalahkan pemimpin perasuah sahaja.

“Merekalah pemimpin yang salah guna kuasa, mencuri wang, tidak bantu Melayu selesaikan masalah kemiskinan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Atas sebab itu, beliau menganggap tidak salah jika dikatakan kerajaan hari ini mengiyakan kemiskinan dalam kalangan Melayu, jika tiada penyelesaian dibuat kepada masalah yang dihadapi Melayu.

“Perbuatan berat sebelah terhadap Melayu adalah petunjuk sikap perkauman kerajaan. Ianya hasutan kerana bertentangan dengan Perlembagaan negara kita.

“Oleh itu, pemimpin kerajaanlah yang perlu didakwa atas hasutan,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir yang juga Penasihat Sekretariat Proklamasi Orang Melayu menyalahkan Anwar kerana beberapa premis membatalkan tempahan untuk mengadakan perhimpunan bagi melancarkan pengisytiharan itu.

Beliau turut mendakwa kerajaan hari ini takut untuk mendengar suara orang Melayu sehingga membawa kepada pembatalan program untuk kali keempat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button