Dunia

Bangunan empat tingkat runtuh di Qatar

Seorang maut, 7 terselamat, operasi pencarian mangsa masih diteruskan

DOHA, 1 Ramadan 1444H, Khamis – Sebuah bangunan di ibu negara Qatar runtuh pada Rabu, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya satu nyawa setakat ini.

Kementerian Dalam Negeri Qatar memaklumkan, insiden berlaku membabitkan sebuah struktur bangunan empat tingkat di kawasan kejiranan Bin Durham di Doha.

Katanya, pasukan penyelamat menemukan tujuh mangsa yang terselamat, manakala seorang terbunuh berada di dalam bangunan ketika runtuhan.

Sehingga kini, pihak berkuasa belum memberikan perincian mengenai insiden runtuhan.

Menerusi satu video tular dalam talian menunjukkan penggera kereta berbunyi selepas runtuhan, di mana satu bahagian bangunan jatuh ke bahagian berdekatan.

Pasukan pertahanan awam dan polis mengepung lokasi kejadian selepas runtuhan berlaku jam 8 pagi waktu tempatan.

Penduduk berdekatan telah diarahkan berpindah demi langkah keselamatan, sementara operasi pencarian dan menyelamat masih berjalan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button