Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Pejuang ibarat sudah jatuh ditimpa tangga

Pejuang tak lagi dianggap penting, mungkin 'hilang' begitu saja

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 1 Ramadan 1444H, Khamis – Prestasi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga kehilangan wang deposit menampakkan ia sudah tidak relevan buat rakyat.

Justeru, Keputusan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan itu sudah dapat dijangka, berikutan tiada nilai tambah. 

Berbeza dengan PN yang sememangnya dilihat berjaya mendapat sokongan maksimum orang Melayu, kata Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali. 

“Pejuang mendapat undian terendah pada PRU15. Jadi kehadirannya tidak dianggap sesuatu yang penting oleh parti politik, bukan sahaja oleh PN tetapi juga Pakatan Harapan (PH) yang pernah menolak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Malah, katanya, kini kedudukan Pejuang dilihat lebih goyah apabila Dr Mahathir yang merupakan bekas pengerusinya meninggalkan Pejuang dan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra). 

“Saya melihat seolah-olah Pejuang sudah jatuh ditimpa tangga. Pemimpin pengasasnya sendiri sudah meninggalkan Pejuang. Jadi timbul persoalan ke mana haluan Pejuang sekarang setelah ditolak oleh PN. 

“Saya jangka jika Pejuang mahu menyertai PH juga sekali lagi akan ditolak,” katanya.

Justeru, timbul persoalan samada Pejuang akan menyertai pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi secara solo.

“Kita jangka Pejuang akan kalah teruk seperti mana dalam PRU15 lalu. Parti itu mungkin akan menghadapi situasi yang sangat getir. 

“Mungkin tidak lagi dapat bersaing dalam politik Malaysia yang mengakibatkan ia menjadi seperti parti politik lepas yang tidak berpengaruh dan akhirnya dibubarkan 

“Itulah nasib Pejuang sekarang, samada parti itu dibubarkan atau parti itu akan hilang begitu sahaja di dalam perkembangan politik Malaysia,” katanya.

Semalam, dilaporkan bahawa Mesyuarat Majlis Tertinggi PN membuat keputusan menolak permohonan Pejuang sebagai sebahagian parti komponennya.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berlangsung kelmarin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button