Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Tak salah kekalkan sesi persekolahan pada Mac

Perlu ambil kira risiko pelajar Pantai Timur hadapi peperiksaan dalam musim tengkujuh

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 2 Ramadan 1444H, Jumaat – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengkaji kesesuaian dalam semua aspek terlebih dahulu sebelum mengembalikan permulaan sesi persekolahan kepada bulan Januari.

Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, tindakan berkenaan penting supaya tiada pihak yang terkesan dengan penukarannya kelak.

Beliau berpandangan, sesi persekolahan yang diguna pakai ketika ini juga sudah baik selagi ia selaras dengan Akta Pendidikan 1996.

“Tidak salah untuk kekalkan kemasukan sesi persekolahan pada Mac atau lain-lain bulan asalkan jumlah hari persekolahan bagi setiap tahun akademik tidak kurang daripada 190 hari.

“Tidak dinafikan ia terlihat seperti terdapat sedikit kelainan apabila sesi kemasukan sekolah bermula agak lewat iaitu Mac, namun ia tidak melibatkan pelanggaran akta atau peraturan yang ditetapkan oleh pihak kementerian atau kerajaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai jaminan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang berhasrat mengembalikan sesi persekolahan pada Januari.

Permulaan takwim itu diubah daripada Januari kepada Mac sejak 2022, selepas KPM mengumumkan sesi persekolahan 2021 dilanjutkan hingga Februari tahun berikutnya ketika sesi persekolahan terkesan akibat pandemik COVID-19 melanda negara.

Dalam pada itu, Syed Anuar berkata, KPM juga perlu mengambil kira situasi pelajar di negeri Pantai Timur yang sering terkesan kerana terpaksa menjalani peperiksaan semasa musim tengkujuh pada setiap hujung tahun.

“Lebih baik kita ambil kemudaratan yang lebih kecil berbanding kemudaratan yang besar terutama melibatkan hal ini, apabila sesi persekolahan dimulakan Januari dan pelajar-pelajar di Tingkatan Lima dan Enam akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (SPM) sekitar November dan Disember.

“Sedangkan musim itu adalah musim tengkujuh di negeri-negeri Pantai Timur dan sekali gus memberi kesan dan trauma kepada pelajar berkenaan seperti yang dialami sebelum ini,” katanya.

Syed Anuar berkata, menghadapi peperiksaan dalam keadaan musim tengkujuh juga akan memberi tekanan emosi bukan sahaja kepada pelajar tetapi guru dan ibu bapa.

“Jadi perkara ini perlu dititik berat dan menjadi tidak adil kepada pelajar-pelajar di negeri terbabit apabila terkesan sedangkan kementerian atau pihak berkuasa boleh membuat pindaan dan mengelak keadaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, tiada tarikh yang tetap dikeluarkan oleh kementerian mahu pun kepada ibu bapa untuk menetapkan takwim persekolahan bermula Januari.

Justeru, beliau mencadangkan supaya KPM mengadakan perbincangan dan kajian menyeluruh dengan pihak-pihak berkaitan terutama dengan Jabatan Meteorologi sebelum membuat keputusan untuk mengenai sesi persekolahan.

“Ini penting supaya penyelesaian yang lebih tepat dapat dicapai selain mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button