Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

‘Jika tak buat inisiatif Payung Rahmah, keadaan bertambah parah’

Kajian akan dibuat selepas enam bulan inisiatif dilaksanakan

KUALA LUMPUR, 3 Ramadan 1444H, Sabtu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan kajian impak inisiatif Payung Rahmah pada Jun ini untuk melihat sejauh mana pelaksanaannya dapat bertahan lama.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kajian itu akan dibuat selepas enam bulan inisiatif dilaksanakan dan hasil kajian akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

“Inisiatif ini telah berjalan selama tiga bulan, saya telah beritahu kepada kementerian apabila sudah sampai enam bulan nanti kita akan buat satu kajian impak untuk tengok dari segi kemampanan.

“Dengan ini, barulah KPDN akan laporkan hasil kajian kepada pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri supaya dalam bajet tahun depan kita (kerajaan) dapat lihat (meneliti) tawaran, inisiatif atau pemotongan cukai yang boleh diberikan kepada pihak industri yang serius melibatkan diri dalam inisiatif ini,” katanya.

Salahuddin berkata demikian sebagai mengulas pendapat sesetengah pihak bahawa Payung Rahmah adalah inisiatif bermusim kerana peniaga sukar mengekalkan perniagaan jika menjual produk di bawah harga pasaran bagi tempoh yang lama.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Jualan Rahmah Bersama Sabella di ibu pejabat Sabella Holdings di Batu Caves hari ini.

Menurutnya setakat ini, inisiatif Jualan Rahmah yang dilaksanakan secara sukarela oleh pihak industri tanpa melibatkan perbelanjaan kerajaan, dapat menurunkan hampir 12,000 barangan keperluan seperti sabun, minyak masak, minuman, pakaian dan biskut.

“Kalau kerajaan tidak melakukan inisiatif ini keadaan akan bertambah parah. Sebab itu, KPDN tampil untuk mencari opsyen tertentu supaya apabila harga sesuatu barang naik akibat faktor cuaca dan sebagainya, kita masih dapat adakan harga Rahmah pada barangan keperluan asas lain,” kata beliau.

Mengenai cadangan kerajaan memperkenalkan inisiatif Insurans Rahmah, Salahuddin berkata setakat ini dua syarikat insurans sudah menyatakan minat untuk menawarkan pakej berkaitan iaitu Etika dan Allianz.

“Dengan Etiqa, kita telah mengadakan libat urus dan mereka menawarkan beberapa pakej Rahmah, dalam masa dua minggu lagi kita akan muktamadkan pakej itu kerana kita kena lihat dari sudut perundangan, peraturan serta kesan jangka masa pendek dan panjang daripada tawaran itu.

“Selain itu, kita perlu dapat persetujuan daripada Bank Negara dan Kementerian Kewangan, kalau sudah menepati kesemua peraturan baru pakej Insurans Rahmah dikemukakan kepada rakyat. 

“Bagi syarikat Allianz pula, minggu depan kita akan adakan libat urus kerana mereka juga mahu menawarkan pakej,” katanya.  – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button