Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Pakej Rahmah Haji tawar harga bawah RM50,000

Syarikat tawar perkhidmatan tanpa kelulusan TH boleh dikenakan tindakan

SEPANG, 3 Ramadan 1444H, Sabtu –  Bakal jemaah haji pada tahun ini berpeluang mendapatkan Pakej Rahmah Haji yang ditawarkan pada harga di bawah RM50,000 seorang oleh Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diberikan lesen oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu disambut baik oleh 23 PJH, malah ada yang menawarkan pakej pada harga antara RM43,000 dan RM45,000.

“Alhamdulillah dengan tawaran kurang daripada RM50,000 ini kita harap akan lebih ramai (jemaah haji) mengambil tawaran yang disediakan, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Karnival PJH 1444H/2023M bertema ‘Pilih Keselesaan, Pilih Pakej Haji’ yang julung kali dianjurkan TH dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA Malaysia) di sini hari ini. 

Turut dilancarkan Direktori PJH sebagai rujukan untuk bakal jemaah haji.

Mohd Na’im berkata, 23 PJH yang diberi lesen oleh TH memiliki kapasiti teguh, kepakaran dan pengalaman serta berwibawa dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan bertanggungjawab menjaga kebajikan jemaah haji yang pergi sama ada secara muassasah atau pakej.

“Sejak beberapa tahun ini, banyak berita berkaitan penipuan pakej haji dan umrah dilaporkan pihak media. Kerajaan memandang serius dan bertekad menangani penipuan membabitkan jemaah yang ingin menunaikan ibadat haji ini,” katanya.

Beliau berkata TH bekerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta syarikat berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menangani masalah berkenaan.

Mohd Na’im juga menegaskan TH tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkait tawaran dan pakej haji, justeru individu atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995.

Sementara itu, menurutnya seramai 31,600 jemaah haji ditawarkan TH untuk menunaikan ibadat haji tahun ini dan kerajaan sedang menunggu jawapan daripada Arab Saudi berhubung tambahan 350 jemaah.

“Kerajaan telah mengemukakan rayuan dan tahun ini kita dapat 31,600. Kita ada asas yang kita telah sebut pada kerajaan Arab Saudi kenapa kita nak naikkan 350 lagi supaya jumlahnya menjadi 31,950,” katanya.

Menurutnya antara alasan yang dikemukan ialah penduduk Malaysia telah bertambah iaitu sekarang berjumlah 31.95 juta, sehubungan itu diharapkan kerajaan Arab Saudi akan mempertimbangkan perkara itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button