Ada pihak sengaja ‘musnahkan’ usahawan Melayu?
Melayu kini terpaksa dikorbankan demi permainan kotor politikus?

KALAU ada seorang usahawan Melayu yang boleh kita banggakan maka nama Tan Sri Syed Mokhtarlah yang akan meniti di bibir kita semua.
Beliau satu-satunya usahawan Melayu yang berjaya menandingi usahawan lain dan pernah menduduki tangga ke-5 individu terkaya di Malaysia.
Bukan itu sahaja, beliau juga terkenal sebagai seorang yang sangat pemurah dan sanggup membina sebuah universiti yang menempatkan pelajar-pelajar miskin seluruh dunia untuk menyambung pelajaran.
Walaupun ada komen-komen negatif terhadap beliau, namun itu tidak memadamkan akan kehebatan beliau sebagai seorang yang berjaya mengharungi dunia perniagaan.
Saya membaca sejarah hidup beliau dan saya merasa amat kagum terhadap kesungguhannya dalam menjayakan perniagaan. Contohnya, kisah mahsyur beliau yang sanggup memandu sendiri lori membawa beras selama berbelas jam bagi menghantar kepada klien. Beliau sampai sanggup tidur di dalam lori sahaja kerana terlalu kepenatan.
Begitulah usaha beliau yang begitu bersungguh-sungguh.
Kini nama beliau sekali lagi disebut-sebut oleh rakyat. Tetapi kali ini bukan dipuji, tetapi sebaliknya menjadi bahan mainan politik.
Selepas Syarikat BERNAS kini Yayasan Bukhari pula menjadi fokus serangan. Saya terfikir, apa sebenarnya agenda mereka yang menimbulkan isu ini? Adakah TS seorang sahaja yang menderma kepada parti politik?
Adakah beliau menghisap darah rakyat sehingga “dipaksa” menderma puluhan juta kepada pesawah?
Adakah salah jika beliau baik dengan mana-mana ahli politik sehingga ada pihak yang sanggup memalukan beliau dengan pelbagai tohmahan dan dakwaan?
Adakah taikun-taikun lain bersih sesuci salju atau sebenarnya tidak ada pihak yang berani sentuh?
Sayang seribu kali sayang, seorang usahawan yang merupakan epitome orang Melayu kini terpaksa dikorbankan demi kepentingan dan permainan kotor politikus.
Siapakah di belakang mainan ini? Saya tidak pasti. Cuma yang jelas mereka memang sengaja memusnahkan seorang usahawan Melayu dan impaknya tak lain adalah kepada orang Melayu sendiri.
Fikir-fikirkanlah.
Aminuddin Yahaya
26 Mac 2023