Berita Utama

Identiti nasional terbentuk jika negara tiada sekolah vernakular

Hanya satu sistem pendidikan dapat perkukuh perpaduan

BANGI, 4 Ramadan 1444H, Ahad – Cadangan melantik tokoh tertentu sebagai ikon perpaduan belum mampu memperkukuhkan keharmonian dan membentuk identiti nasional dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Atas sebab itu, Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim menyarankan ahli Parlimen melihat kembali faktor utama yang menyumbang kepada kegagalan perpaduan negara sehingga tiada identiti nasional.

Menurut Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu, beliau percaya sistem pendidikan adalah faktor utama yang mampu menjayakan perpaduan negara.

“Kerana disitulah kita disatukan. Negara kita mesti ada satu sistem pendidikan yang dipanggil sistem pendidikan kebangsaan, bukannya sistem pendidikan dibina di atas kaum.

“Apabila kita menyatukan semua bangsa di dalam sistem pendidikan mereka, pagi, tengahari dan petang bergaul dengan bahasa yang sama.

“Akhirnya akan lahirlah identiti nasional dan akan terbinanya keharmonian,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer supaya bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diangkat sebagai ikon perpaduan.

Rayer berkata, Allahyarham Nik Abdul Aziz adalah seorang tokoh yang dihormati kerana tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengguris hati kaum lain.

“Beliau tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menyebabkan orang India dan Cina kurang berpuas hati,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat.

Meskipun menyambut baik cadangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu, Zamani masih berpandangan bahawa usaha mengangkat Allahyarham Nik Aziz belum cukup memperkukuhkan perpaduan negara secara keseluruhannya.

“(Sistem pendidikan) yang sepatutnya dibawa dan diangkat dalam Parlimen, membincangkan bagaimana kita hendak angkat supaya negara kita ini adalah satu sahaja sistem pendidikan tanpa perlu vernakular.

“Sekolah Jenis Kebangsaan tidak ada, hanya ada Sekolah Kebangsaan. Saya yakin dan percaya perpaduan ini dengan menyatukan sistem pendidikan.

“Di situlah semaian yang perlu kita mulakan membawa kita harmoni hidup aman damai dan berlakunya perpaduan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button