Berita Utama

ISMA konsisten sedarkan masyarakat perkara ancam akidah

Lahirkan ummah kuat pegangan agama, kesatuan ukhuwah Islamiyah

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 4 Ramadan 1444H, Ahad – Gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) komited untuk melahirkan ummah yang kuat pegangan agama, kesatuan ukhuwah Islamiyah dan penguasaan ilmu dan kemahiran.

Atas dasar itu, ISMA yang sudah 25 tahun ditubuhkan sejak 1997, akan meneruskan usaha dakwah kepada masyarakat bagi membangunkan ummah yang memahami Islam.

Presiden ISMA, Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, gerakan Islam itu sedar terlalu banyak perkara yang mengancam akidah umat Islam seperti tahyul, syirik, ajaran sesat, fahaman liberalisme dan pluralisme agama.

Agenda menyeleweng ini terus menular di kalangan masyarakat, bahkan dakyah songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kini makin menjadi-jadi.

“Isu-isu semasa yang berbentuk provokasi kepada sensitiviti masyarakat Islam dan Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini juga terus berlaku.

“Sebab itu, ISMA melihat akidah umat Islam mesti dipelihara kerana ianya Maqasid Syariah yang tertinggi iaitu memelihara agama.

“Apa sahaja perkara yang mendatangkan mudarat kepada akidah umat Islam perlu dihalang dengan penguatkuasaan undang-undang,” katanya kepada Ismaweb.net.

Pelbagai isu tercetus sejak kebelakangan ini yang dilihat seolah-olah mencabar kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Antara isu kontroversi ialah Filem ‘Mentega Terbang’ yang didakwa seakan-akan mempersendakan Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Filem indie tempatan yang ditayangkan menerusi platform penstriman video Viu itu mengundang kegusaran orang awam kerana beberapa babak yang didakwa bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.

Kemudian timbul pula isu LGBT, apabila golongan songsang kelihatan ‘berani’ dengan muncul dalam perhimpunan Hari Wanita ‘Women’s March Malaysia 2023’ baru-baru ini.

Seterusnya, program ‘Jom Ziarah Gereja’ – kononnya mendedahkan belia Malaysia tentang budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa, namun mendapat kritikan kerana dibimbangi menjadi normalisasi dan perancangan untuk merosakkan anak-anak muda.

Selain itu, penganjuran pertunjukan ‘Thai Hot Guy’ pada 30 Mac, telah dibatalkan selepas mendapat bantahan kerana mempromosi seks bebas. Ia didakwa bukan hanya mencemari kesucian bulan Ramadan, bahkan menjejaskan imej Malaysia sebagai model negara Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button