Berita Utama

MMA tuntut penjelasan JPA henti tajaan pelajar perubatan

Negara belum capai nisbah seorang doktor untuk 400 pesakit

BANGI, 4 Ramadan 1444H, Ahad – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta memberi penjelasan berhubung tindakan mengejut menghentikan penajaan pelajar di universiti tempatan yang mahu menyambung pengajian dalam bidang perubatan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, keputusan JPA itu bukan tindakan relevan ketika ini, walaupun memahami keadaan ekonomi negara.

“Langkah ini boleh menjejaskan kepakaran yang diperlukan untuk sektor kesihatan dalam masa terdekat dan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, JPA dalam kenyataan memaklumkan bidang perubatan, pergigian, farmasi dan pendidikan adalah antara kursus yang tidak lagi ditawarkan penajaan, tahun ini.

Antara lain yang tidak ditaja adalah bidang memerlukan pelajar mengambil jenis lesen seperti lesen penerbangan, menyelam serta program berbentuk francais universiti awam.

Dr. Muruga menjelaskan, sehingga kini negara masih belum mencapai nisbah seorang doktor untuk 400 pesakit yang dicadangkan di fasiliti penjagaan kesihatan awam.

Malah, terdapat hospital, nisbah seorang doktor kepada 1000 pesakit selain masih juga terdapat kekurangan bagi pakar penjagaan kesihatan awam.

Beliau pada masa menjelaskan, langkah pemberhentian penajaan tidak wajar terutama melibatkan pelajar bidang perubatan, memandangkan tidak semua pelajar dalam bidang tersebut mampu menanggung perbelanjaan sepanjang belajar.

Justeru beliau mencadangkan supaya perancangan yang secukupnya perlu dibuat dengan teliti untuk penjagaan kesihatan dengan mengambil kira keperluan dan pertumbuhan penduduk.

“Kami bimbang pada masa depan tiada pakar perubatan di negara ini berikutan permintaan untuk perkhidmatan ini semakin meningkat dan dijangka terus meningkat pada masa depan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button