Dunia

Negara Arab sepakat kutuk pelampau Denmark bakar al-Quran

Hina agama tak boleh dianggap sebagai kebebasan bersuara

DUBAI, 4 Ramadan 1444H, Ahad – Negara-negara Arab mengecam tindakan biadab pelampau Islamophobia di Denmark ekoran membakar al-Quran dan bendera Turkiye, Jumaat lalu.

Terdahulu, kumpulan anti-Islam sayap kanan, Patrioterne Gar Live menyiarkan rakaman di Facebook memaparkan penyokong membawa sepanduk dengan mesej Islamophobia ketika membakar senaskah al-Quran dan bendera Turkiye di hadapan Kedutaan Turkiye di Copenhagen.

Kementerian Luar Turkiye mengecam insiden itu dan menyifatkannya sebagai ‘jenayah kebencian’, termasuk menolak alasan perbuatan keji berkenaan di bawah hak kebebasan bersuara.

Justeru, kementerian itu menggesa pihak berkuasa Denmark mengambil tindakan terhadap pelaku bagi memastikan kejadian sama – yang menggugat keharmonian sosial – tidak berulang lagi.

Susulan itu juga, negara-negara Arab lain turut bersuara menentang tindakan pelampau, selain menyifatkan perbuatan berkenaan sengaja menimbulkan kebencian terhadap umat Islam, apatah lagi ketika bulan Ramadan.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Jordan, Sinan Majali berkata, perbuatan itu seolah sengaja menimbulkan kebencian dan perkauman.

“Membakar al-Quran adalah tindakan kebencian yang serius dan manifestasi Islamophobia yang menghasut keganasan dan penghinaan terhadap agama, selain tidak boleh dianggap satu bentuk kebebasan bersuara,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Kementerian Luar Kuwait turut memberi amaran bahawa tindakan membakar al-Quran berisiko mencetuskan tindak balas kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Kementerian menggesa pelaku untuk bertanggungjawab dan memastikan kebebasan bersuara tidak disalahgunakan bagi tujuan menyinggung Islam atau agama lain.

Pada masa sama, Qatar juga mengutuk tindakan keji berkenaan dan memberi amaran bahawa insiden itu akan mendorong peningkatan berbahaya yang menyasarkan umat Islam.

Kementerian Luar Qatar mengulangi semula penolakan negara itu terhadap semua bentuk ucapan kebencian berdasarkan kepercayaan, bangsa atau agama.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button