Berita Utama

RUU kesalahan seksual kanak-kanak dibentang di Dewan Rakyat

Tetapkan hukuman penjara dan denda RM50,000 bagi kesalahan libatkan persembahan seksual kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 5 Ramadan 1444H, Isnin  Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 yang bertujuan memberikan perlindungan lebih jitu dan menyeluruh kepada kanak-kanak, dibentang untuk kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini. 

Ia dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 antara lain menetapkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi kesalahan melibatkan persembahan seksual kanak-kanak.

Antara kesalahan itu termasuk membuatkan atau menyebabkan kanak-kanak melakukan persembahan seksual; turut serta, sama ada sebagai peserta atau penonton dalam persembahan seksual; mengiklankan, mempromosikan atau memudahkan persembahan seksual; serta menerima apa-apa manfaat, termasuk kewangan daripada persembahan seksual tersebut.

Menurut rang undang-undang itu, ‘persembahan seksual’ bermaksud apa-apa perlakuan seksual secara terang-terangan yang dipersembahkan di hadapan seorang penonton atau lebih, termasuk yang dirakam atau dihantar keseluruhannya atau sebahagiannya, melalui apa-apa cara termasuk tetapi tidak terhad kepada cara elektronik, mekanikal, digital, optik atau magnetik, atau gabungan apa-apa cara.

 Selain itu bagi perkara melibatkan pemerasan seksual kanak-kanak seperti mengugut melakukan aktiviti bersifat seksual, mengugut mereka untuk berkongsi apa-apa gambaran sama ada dalam bentuk visual, audio atau bertulis, individu berkenaan boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun jika disabitkan.

Rang undang-undang itu turut menyatakan perintah bagi pembayaran pampasan kepada mangsa kanak-kanak yang mana jumlah wang ditetapkan oleh mahkamah berdasarkan kecederaan yang dialami mangsa.

Selain itu, Azalina turut membentangkan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023, yang bertujuan menambah baik perlindungan terhadap saksi kanak-kanak dengan menaikkan umur saksi kanak-kanak daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Ia bertujuan memasukkan peruntukan yang membolehkan mahkamah melarang apa-apa soalan tidak wajar kepada saksi kanak-kanak semasa pendengaran khas seperti yang bersifat memperdayakan atau mengelirukan, menghina, menakut-nakutkan, mengaibkan, mengganggu, menggusarkan, menyinggung, menindas atau mengulang secara tidak perlu. 

Menurut rang undang-undang itu, seseorang saksi kanak-kanak semasa pendengaran khas boleh memberikan keterangan dengan cara mengadakan suatu pengadang di antara kanak-kanak itu dengan tertuduh atau kanak-kanak yang dipertuduh atas mana-mana kesalahan atau dengan cara rangkaian secara langsung atau gabungan kedua-duanya.

Azalina memaklumkan bacaan kali kedua untuk Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 juga diadakan pada mesyuarat kali ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button