Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Kakitangan IPT rugi setengah juta diperdaya ‘love scam’

Suspek kerap minta wang dari mangsa atas pelbagai alasan

KUALA TERENGGANU, 6 Ramadan 1444H, Selasa – Seorang kakitangan wanita sebuah institusi pengajian tinggi di negeri ini mendakwa kerugian RM500,000 akibat terpedaya dengan sindiket ‘love scam’ atau penipuan cinta.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din berkata, kejadian bermula pada Julai 2020 selepas mangsa berkenalan dengan seorang lelaki warga asing menerusi laman sesawang mencari jodoh.

Beliau berkata, sejak itu, suspek sering kali meminta wang daripada mangsa atas pelbagai alasan termasuk untuk meminjam dan sebagai tanda kasih sayang.

“Sepanjang perkenalan mereka dari 2020 hingga 2023, mangsa telah melakukan 22 pindahan wang ke akaun yang berbeza-beza sehingga mencapai jumlah RM500,000.

“Suspek juga mengarahkan mangsa supaya membuang segala bukti seperti resit pindahan wang ke akaun yang diberikan,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Rahim berkata, disebabkan rasa sayang dan percaya, mangsa menurut semua arahan suspek tanpa curiga dan memikirkan akibatnya di kemudian hari.

Menurut beliau, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas dimaklumkan rakannya bahawa lelaki yang juga buah hatinya itu bukanlah individu yang sering berhubung dengannya selama ini.

“Mangsa membuat laporan polis pada Ahad lepas selepas kehilangan wang simpanan dan wang pinjaman peribadi berjumlah setengah juta,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan oleh penjenayah yang telah memperdaya ramai mangsa. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button