Berita UtamaIstimewa

MRSM berbayar lebarkan lagi jurang pendidikan kaya, miskin

MARA perlu tetapkan biasiswa hanya untuk anak Bumiputera B40, M40

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 6 Ramadan 1444H, Selasa – Meskipun tidak menggunakan peruntukan kerajaan, tidak sewajarnya Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar dibina untuk golongan elit kerana tersasar daripada matlamat asal untuk membantu anak-anak golongan berpendapatan rendah (B40).

Kerajaan hanya perlu menambah baik syarat pengambilan pelajar antaranya golongan T20 perlu membayar yuran yang lebih mahal dari B40 dan M40, kata Ketua Wanita Berjasa Johor, Azizah Awang.

“Lebihan bayaran ini boleh menampung keperluan pelajar yang tidak mampu di dalam menyediakan keperluan belajar.

“Pihak pengurusan mestilah amanah dan adil dalam pengambilan pelajar yang menepati kriteria atau syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau yang juga pesara guru yakin penubuhan MRSM berbayar untuk golongan elit hanya akan melebarkan jurang sosial antara golongan kaya dan miskin.

Justeru, pihak MARA juga perlu menetapkan biasiswa yang ditawarkan hanyalah untuk golongan Bumiputera B40 dan M40 yang cemerlang akademik, kokurikulum, sahsiah dan jati diri.

“Jika ini dapat dilaksanakan, jurang kasta pendidikan golongan elit dan miskin dapat dikecilkan di kalangan pelajar.

“Ekosistem pendidikan yang berkualiti dan persekitaran yang harmoni akan mampu melahirkan pelajar berkualiti sebagai pewaris kepimpinan negara,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan penubuhan MRSM berbayar tidak akan menggunakan peruntukan kerajaan atau dibina di atas tanah rakyat miskin.

Katanya, kerajaan akan menggunakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk pembiayaan MRSM terbabit.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button