Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaDunia

Usaha Netanyahu tingkatkan kuasa dedah percanggahan dalaman Zionis

Krisis PM, rakyat negara haram musnahkan rejim pendudukan Israel

TEHRAN, 6 Ramadan 1444H, Selasa – Krisis politik yang berterusan di negara haram Israel dilihat semakin parah apabila menyebabkan kemusnahan rejim pendudukan seperti kebakaran hutan, kata Jurucakap Kementerian Luar Iran. 

Nasser Kan’ani membuat kenyataan itu dalam ciapan di laman Twitter pada Isnin selepas puluhan ribu rakyat Israel membanjiri jalanan di seluruh wilayah yang diduduki untuk hari ketiga berturut-turut minggu ini sebagai protes terhadap cadangan pembaharuan kehakiman Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Bantahan berlaku selepas Netanyahu memecat Menteri rejim bagi Hal Ehwal Ketenteraan, Yoav Gallant, kerana kritikannya terhadap rancangan kontroversi itu.

Pembaharuan yang dicadangkan Netanyahu bertujuan untuk merampas kuasa Mahkamah Agung Israel yang boleh menolak keputusan dibuat oleh Kabinet ekstremis baharu rejim dan Knesset.

Perubahan itu juga akan membolehkan penggubal undang-undang mengatasi keputusan mahkamah dengan majoriti mudah, sambil memberi mereka suara yang lebih besar dalam jawatankuasa pemilihan yang melantik hakim.

“Percubaan oleh perdana menteri penjenayah rejim Israel untuk meningkatkan kuasanya sendiri dan bertahan sekali lagi telah mendedahkan percanggahan dalaman dalam masyarakat Zionis dengan mencetuskan protes dan pertempuran jalanan yang paling tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Nasser juga mengkritik sekutu Barat Israel, terutamanya Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK), yang memberikan sokongan berterusan kepada rejim Zionis.

“Adalah tidak masuk akal bahawa Amerika Syarikat dan Eropah, terutamanya Britain, terus menyokong entiti palsu, yang berasaskan pendudukan dan apartheid, dan menggunakan demokrasi sebagai justifikasi untuk sokongan mereka,” katanya.

Susulan tekanan yang semakin meningkat daripada protes selama berminggu-minggu, yang kadang kala berubah menjadi ganas, Netanyahu akhirnya terpaksa menerima desakan untuk menangguhkan rancangan pembaharuan kehakimannya.

Menurut kenyataan oleh parti Kuasa Yahudi berhaluan kanan, Perdana Menteri Israel akan menangguhkan proses perbincangan mengenai pembaharuan kontroversi itu sehingga bulan depan.

Kenyataan itu menambah bahawa undang-undang itu akan ditolak ke sesi Knesset seterusnya untuk ‘meluluskan pembaharuan melalui dialog.

Knesset akan ditangguhkan minggu depan untuk cuti Paskah Yahudi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button