Berita Utama

Zahid tepis dakwaan BN akan ditawar terajui 3 negeri

Hanya pandangan peribadi Khalid, perkara akan dibincang dalam mesyuarat sekretariat

KUALA LUMPUR, 6 Ramadan 1444H, Selasa –  Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan kononnya gabungan itu akan ditawarkan menerajui Kelantan, Terengganu dan Kedah jika Kerajaan Madani memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ini susulan kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang berkata, Pakatan Harapan (PH) dijangka membuat tawaran itu kepada BN.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ia hanya pandangan peribadi Khalid kerana beliau tidak terlibat dalam mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan.

 “Kita akan bincang perkara ini pada mesyuarat sekretariat akan datang,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Khalid juga dilaporkan memberitahu akhbar Utusan Malaysia bahawa calon Menteri Besar atau Ketua Menteri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masih akan dipilih daripada PH.

“Barisan terpaksa menerima ia tidak mempunyai kerusi yang banyak di tiga negeri ini.

“Tetapi kami akan berunding untuk jawatan tertinggi di tiga negeri lain dan berkemungkinan ia akan diberikan kepada Barisan,” lapor akhbar itu memetik kenyataannya.

Pilihan raya di enam negeri itu dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.

Pada masa ini, Perikatan Nasional mengetuai Kelantan, Kedah dan Terengganu manakala PH mentadbir Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button