Wanita BERJASA lancar Bazar Raya Usrah Khadijah untuk golongan susah
Tawar pelbagai pilihan baju raya terpakai secara percuma

BANGI, 7 Ramadan 1444H, Rabu – Wanita BERJASA meneruskan inisiatif kebajikan dengan melancarkan Bazar Usrah Khadijah untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Bazar yang menawarkan banyak koleksi pilihan baju raya mampu milik itu akan diadakan pada 1 April sehingga 7 April di Pusat Komuniti BERJASA Kapar di Klang, Selangor.
Timbalan Ketua Wanita BERJASA, Ustazah Siti Umi Kalsom Hussin berkata, inisiatif itu adalah usaha Wanita BERJASA untuk meringankan beban golongan tidak berkemampuan untuk menyediakan persiapan Aidilfitri nanti.
“Sebelum ini, Usrah Khadijah yang dibawakan oleh Wanita BERJASA adalah satu jenama yang berkongsi ilmu kepada masyarakat.
“Maka untuk Ramadan kali ini, kami ingin bawakan Usrah Khadijah untuk meluaskan peranannya dengan menawarkan inisiatif kebajikan kepada masyarakat melalui program Bazar Usrah Khadijah,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata, bazar berkenaan bukan hanya terbuka kepada golongan B40, bahkan juga untuk golongan lain yang memerlukan seperti M40.
Katanya, Wanita BERJASA memahami kesusahan yang dialami rakyat akibat daripada kenaikan kos keperluan barangan.
“Bazar Usrah Khadijah menawarkan pelbagai pilihan baju raya terpakai yang masih lagi elok untuk dimiliki secara percuma.
“Kami jamin 90 peratus baju raya yang ditawarkan oleh Bazar Usrah Khadijah masih dalam keadaan yang baik dan sesuai untuk dipakai pada hari lebaran nanti,” katanya.
Menurut Umi Kalsom, program Bazar Usrah Khadijah adalah program kebajikan kedua pada bulan Ramadan, selepas bantuan kewangan yang disalurkan kepada seorang pesakit kanser saraf tunjang tahap empat.
“Baru-baru ini, Wanita BERJASA baru sahaja selesai menyerahkan sumbangan wang sebanyak RM2,300 kepada keluarga pesakit kanser saraf tunjang tahap empat.
“Kami mengharapkan program-program kebajikan yang kami tawarkan bukan sahaja mampu meringankan beban masyarakat yang memerlukan, malah mampu merapatkan hubungan Wanita BERJASA dengan masyarakat luar,” katanya.