Berita Utama

Ahli Parlimen perlu jalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali

Ambil kira fakta 9 wakil rakyat meninggal dunia bagi tempoh 2018 hingga 2020

KUALA LUMPUR, 7 Ramadan 1444H, Rabu – Semua ahli Dewan Rakyat sama ada daripada kerajaan mahu pun pembangkang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali bermula pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS)  yang dipengerusikan beliau hari ini.

“Jawatankuasa telah mencadangkan agar pemeriksaan kesihatan diadakan sekali setahun, ketika persidangan Dewan Rakyat berjalan di Bangunan Parlimen. Saya sendiri akan tampil dengan rakan-rakan jemaah menteri untuk menawarkan diri bagi pemeriksaan kesihatan kami dilakukan.

“Hal ini setelah mengambil kira fakta bahawa seramai sembilan wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang sedang berkhidmat, meninggal dunia bagi tempoh 2018 hingga 2020, disebabkan penyakit tidak berjangkit seperti komplikasi buah pinggang dan serangan jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di bangunan Parlimen, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. 

Ahmad Zahid berkata, ahli Dewan Negara juga mungkin dipertimbangkan untuk berbuat demikian.

“Kita bukan mendahului hukum Allah SWT dalam perkara ini tapi sebagaimana saya maklumkan sebelum itu, mencegah lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata perkara berkenaan turut dicadangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dalam mesyuarat berkenaan. 

Timbalan perdana menteri berkata, antara perkara lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat itu meneruskan Kempen Promosi Kesihatan Nasional untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam pembudayaan hidup sihat rakyat.

Katanya, ini memandangkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019 mendapati satu daripada lima rakyat Malaysia menghidap diabetes, tiga daripada 10 rakyat mempunyai kolesterol tinggi dalam badan dan satu daripada dua rakyat mempunyai berat badan yang berlebihan.

“Peningkatan penyakit akibat pembudayaan hidup tidak sihat oleh rakyat memberi tekanan hebat kepada sistem kesihatan dan perbelanjaan negara,” katanya.

Mesyuarat berkenaan juga katanya memutuskan pemberian insentif dan pengiktirafan kepada ejen kesihatan komuniti yang dikenali sebagai MyCHAMPION bertujuan meningkatkan motivasi dan komitmen kepada komuniti setempat.

ANMS diluluskan pada 2020 dengan memfokuskan kepada empat Teras iaitu  Memantapkan Promosi Pembudayaan Hidup Sihat, Memantapkan Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan, Memperkasakan Kawalan Kesihatan Kendiri dan Memantapkan Kebersihan Persekitaran.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button