JAIPk siasat dakwaan jualan ayam disembelih tak ikut syarak
Tetap jalankan siasatan meski tidak terima aduan secara rasmi

BANGI, 7 Ramadan 1444H, Rabu – Walaupun tidak menerima aduan secara rasmi, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan sebuah pasar raya di negeri itu, menjual ayam segar secara pembungkusan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.
Siasatan itu susulan dakwaan seorang pengguna Facebook (FB) menggunakan akaun Fathin Elida yang memuat naik hantaran di kumpulan FB ‘Anak Kuala Kangsar’ mengenai isu berkenaan, semalam.
Berdasarkan hantaran berserta gambar ayam segar dibungkus itu, pemilik akaun FB terbabit meminta pengguna lain membincangkan mengenai tindakan pekerja pasar raya yang sering berdalih apabila diminta memberikan kepala ayam segar ketika dibeli.
Malah, pengguna berkenaan mendakwa, terdapat kesan tebukan atau cucukan pada leher ayam yang dibelinya, sekali gus menyimpulkan penyembelihan ayam itu tidak halal.
Malah, pemilik akaun berkenaan turut mendakwa sudah cuba melaporkan hal itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), tetapi tidak berjaya.
Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, siasatan itu akan tetap dijalankan Bahagian Pengurusan Halal JAIPk, meskipun hanya berdasarkan dakwaan di media sosial.
“Insya-Allah kita akan siasat. JAIPk akan tetap menyiasatnya kerana kita akan pastikan umat Islam makan hanya yang halal lagi toiyyiba,” katanya seperti dilapor Berita Harian (BH), hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail menjelaskan pihaknya belum menerima aduan rasmi berdasarkan sistem e-aduan KPDN setakat semalam.