Berita Utama

LLM, syarikat konsesi kerjasama laksana sistem bayar tol terbuka

Ambil kira keseluruhan persekitaran sistem tol sedia ada

BANGI, 7 Ramadan 1444H, Rabu – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya untuk melancarkan pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka.

LLM dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan itu akan mengambil kira keseluruhan persekitaran sistem tol sedia ada.

Katanya, pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka juga adalah inisiatif awal bagi peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang giat diusahakan ketika ini.

“Ini adalah merupakan langkah yang tepat dalam usaha kerajaan/kementerian memberi pilihan serta kemudahan kepada pengguna bagi tujuan pembayaran tol di lebuh raya.

“Komitmen dan sokongan berterusan pengguna amatlah diharapkan untuk penambahbaikan pengoperasian lebuh raya bertol,” katanya.

Pada masa sama, LLM turut mengalu-alukan pandangan pengguna lebuh raya berhubung pelaksanaan itu.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan lima lagi lebuh raya bersetuju untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka tol yang akan dimulakan pada pertengahan September ini.

Beliau berkata, persetujuan itu membabitkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Jumlah itu menjadikan keseluruhan lebuh raya yang terbabit dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka adalah 11, termasuk enam yang sudah diumumkan pada 24 Mac lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button