Berita Utama

PN Pahang sedia bincang RUU Anti Lompat Parti dengan MB

Tuan Ibrahim jamin sokong sebarang usaha bawa manfaat pada rakyat

KUANTAN, 7 Ramadan 1444H, Rabu – Perikatan Nasional (PN) Pahang bersedia mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, sebelum dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei ini.

Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan antara Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan pembangkang perlu, bagi membolehkan pihaknya meneliti rang undang-undang itu.

“Saya memberi jaminan bahawa sebarang rang undang-undang yang membawa manfaat kepada kestabilan politik, kesejahteraan rakyat, dan pembangunan negeri akan mendapat sokongan penuh.

“Saya mencadangkan agar satu sesi taklimat dan perbincangan diadakan bersama pembangkang sebelum RUU Anti Lompat Parti dibentangkan pada sidang DUN akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 27 Mac lalu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri masih belum memutuskan perkara itu, namun bersedia mengadakan perbincangan dengan pembangkang sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kalau kita bentangkan, maka kita kena dapatkan sekurang-kurangnya dua pertiga sokongan. Kerajaan (negeri) hari ini belum dapat dua pertiga.

“Jika mereka (pembangkang) bersetuju, kita akan bentangkan usul itu…. kita akan bincangkan,” jawab beliau ketika ditanya mengenai rang undang-undang anti lompat parti.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga ADUN Cheka mendakwa, Wan Rosdy mungkin bimbang terhadap sokongan pembangkang berhubung isu itu kerana beliau telah berlaku tidak adil kepada mereka.

“Beliau mungkin bimbang kerana kerajaan negeri tidak akan memperoleh majoriti dua pertiga tanpa sokongan pembangkang.

“Kerajaan (negeri) tidak menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang yang dipilih oleh rakyat, dan ini adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau berkata, langkah menyekat wakil rakyat pembangkang menggunakan kemudahan awam dan pertemuan dengan pegawai kerajaan negeri adalah antara beberapa isu yang tidak adil.

“Kami menggesa kerajaan menghormati keputusan rakyat dan melayan semua wakil rakyat secara adil,” katanya.

Pahang adalah antara negeri yang masih belum melaksanakan undang-undang anti lompat parti bagi ADUN sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober 2022.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 17 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) menang lapan kerusi dengan enam daripada DAP.

Perikatan Nasional pula memperoleh 17 kerusi, meninggalkan BN dan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan Pahang. Terdapat 42 kerusi di DUN Pahang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button