Berita Utama

58 kes, 18 kematian akibat keracunan ikan buntal

Ikan buntal ada toksin berbahaya tidak dibenarkan dijual

BANGI, 8 Ramadan 1444H, Khamis – Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat 58 kes keracunan ikan buntal dengan 18 kematian direkod sejak 1985 hingga Mac 2023.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, larangan penjualan ikan buntal telah ditetapkan dengan jelas di bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972.

Beliau berkata, Seksyen 13 Akta Makanan 1983 juga menerangkan larangan penjualan makanan yang mengandungi bahan beracun, berbahaya atau memudaratkan kesihatan.

“Oleh itu, ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya tidak dibenarkan dijual.

“Berdasarkan data Bahagian Kawalan Penyakit, data Kementerian Kesihatan sejak 1985 hingga Mac 2023, terdapat 58 kes keracunan ikan buntal dilaporkan membabitkan 18 kematian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQD) telah menghasilkan bahan pendidikan sebagai langkah meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung toksin berbahaya dalam ikan buntal.

“KKM akan terus mendidik orang ramai tentang keselamatan makanan termasuk bahaya memakan ikan buntal.

“Tinjauan yang telah dijalankan oleh FSQD, KKM pada tahun 2019 menunjukkan 86 peratus responden yang terdiri daripada orang awam, penjual ikan, nelayan dan tukang mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai bahaya pengambilan ikan buntal,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita maut manakala suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom selepas makan hidangan ikan buntal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button