Berita Utama

Dapat semula pasport ‘petanda’ awal 47 kes Zahid

Tak mustahil dibebas tuduhan mahkamah kerana kedudukan TPM

BANGI, 8 Ramadan 1444H, Khamis – Keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan pasport antarabangsa dan diplomatik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diperoleh secara kekal, membayangkan kepada satu petanda awal terhadap 47 pertuduhan yang sedang dihadapinya ketika ini.

Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim tidak menolak kemungkinan keputusan ini akan mempengaruhi pendakwaan ke atasnya membabitkan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram berhubung dana Yayasan Akalbudi, yang kini di peringkat pembelaan.

Beliau bimbang, penyerahan pasport ini menjadi petanda untuk Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan, memandangkan kedudukannya kini sebagai individu kedua tertinggi dalam kerajaan.

“Bagi saya tidak ramai yang terperanjat. Saya sendiri pun menjangkakan beliau akan dapat sebab (Ahmad Zahid) bukan individu biasa, beliau Timbalan Perdana Menteri.

“Kita melihat perkara ini seolah-olahnya menggambarkan bahawa apa sahaja boleh berlaku kalau kita ada kuasa. Ini cukup membimbangkan,” katanya.

Isnin lalu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berjaya memperoleh pasport antarabangsa dan diplomatik secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hanipah Farikullah membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan pasport secara kekal selepas berpuas hati bahawa permohonan itu mempunyai merit.

Menurut Haji Zamani, penyerahan pasport bukanlah isu utama yang mahu difokuskan, sebaliknya menegaskan kesilapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengangkat Ahmad Zahid sebagai timbalannya.

“Sepatutnya di awal-awal lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengangkat beliau sebagai TPM kerana (Ahmad Zahid) telah pun bergelumang dengan tuduhan, bukan satu dua kes tetapi 47 kes.

“Individu sebegini sepatutnya tidak layak diangkat oleh Anwar, apatah lagi diletakkan disebelahnya sebagai timbalan. Ini satu kesilapan besar yang dilakukan Anwar kepada negara kita,” katanya.

Beliau berkata, prinsip Anwar yang sebelum ini tegas mahu memerangi rasuah dan salah guna kuasa seolah tidak selari dengan tindakannya melantik individu mempunyai 47 pertuduhan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Apa sahaja yang beliau cakap tentang rasuah, tadbir urus dan salahguna kuasa menjadi hambar didengar oleh rakyat dan pimpinan dalam serta luar negara kerana beliau telah salah tindakan dalam mengangkat seorang yang sarat tuduhan mahkamah.

“Bagi saya ini adalah suatu yang menggambarkan negara kita tidak berada di landasan keadilan yang sebenarnya dan negara bukan berada di atas landasan untuk bersungguh membasmi gejala rasuah dan salah laku,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button