Berita UtamaDunia

Indonesia dilucut jadi tuan rumah Piala Dunia B-20 kerana Israel

Gabenor gesa guna dasar larang pasukan Israel bertanding di Bali

BALI, 8 Ramadan 1444H, Khamis – Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melucutkan hak Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) selepas bantahan besar-besaran terhadap penyertaan pasukan Israel di negara itu. 

Dalam satu kenyataan, FIFA berkata, pihaknya telah memutuskan untuk menyingkirkan Indonesia sebagai tuan rumah susulan pertemuan antara Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir.

Keputusan itu dibuat selepas FIFA membatalkan acara undian hari Jumaat di Bali, di tengah-tengah bantahan di negara majoriti Islam itu menghalang penyertaan skuad kebangsaan Israel.

Sokongan untuk perjuangan Palestin meluas di negara Islam yang paling ramai penduduknya di dunia.

Gabenor pulau Bali, Wayan Koster dilaporkan enggan menjadi tuan rumah untuk acara cabutan undi jika ada pasukan Israel.

Menurut laporan media, beliau meminta Kementerian Belia dan Sukan Indonesia menggunakan dasar melarang pasukan Israel daripada bertanding di Bali.

Acara 20 Mei hingga 11 Jun itu ditetapkan sebagai kejohanan bola sepak utama pertama yang dianjurkan negara Asia Tenggara.

FIFA berjanji untuk mengumumkan tuan rumah baharu secepat mungkin. 

Kebanyakan negara Islam enggan menjadi tuan rumah kepada atlet Israel dan ramai atlet Islam enggan bersaing dengan lawan Israel sebagai solidariti kepada rakyat Palestin yang tertindas.

Semasa Piala Dunia FIFA di Qatar tahun lalu, sentimen pro-Palestin dipamerkan sepenuhnya apabila penonton dan pemain bola sepak mengibarkan bendera Palestin di stadium dan memaksa wartawan Israel meninggalkan lokasi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button