Berita Utama

JAKIM tambah baik proses keluar sijil halal

Kaedah baru perlu dilaksanakan bagi memudahkan industri

PUTRAJAYA, 8 Ramadan 1444H, Khamis – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) komited dan bersedia meneliti kaedah terbaik yang bersesuaian bagi memastikan proses pengeluaran sijil halal Malaysia menjadi lebih cekap dan efektif.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, perkara itu penting bagi memastikan ia dapat memenuhi kehendak pasaran tempatan dan antarabangsa tanpa mengabaikan aspek pematuhan hukum serta standard yang ditetapkan.

“JAKIM menyambut baik hasrat dan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta proses pensijilan halal Malaysia ditambah baik serta mengurangkan karenah birokrasi bagi memberi kemudahan kepada industri.

“Sebagai pihak berkuasa di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD2011) yang telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, Jakim sentiasa komited dan bersedia melaksanakan kaedah terbaik berhubung perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat Majlis Halal Malaysia bersetuju bahawa satu mekanisme atau proses baharu perlu dilaksanakan bagi mencepatkan proses pengeluaran sijil halal.

Beliau dilaporkan berkata, ia memandangkan pengeluaran sijil halal ketika ini mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk diluluskan berikutan beberapa kekangan termasuk kerenah birokrasi.

Katanya, pengeluaran sijil halal hendaklah dipercepatkan prosesnya tetapi masih mematuhi syarat ditetapkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button