Berita Utama

Kerajaan belanjakan RM42 bilion untuk subsidi bahan api tahun lepas

Harga minyak mentah melonjak sehingga RM486 setong

KUALA LUMPUR, 8 Ramadan 1444H, Khamis – Sebanyak RM42 bilion dibelanjakan untuk subsidi bahan api tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, jumlah ini adalah daripada peruntukan tambahan RM52.77 bilion untuk perkhidmatan am perbendaharaan.

“Saya akui ini adalah kali pertama dalam sejarah jumlah yang begitu besar dilihat di bawah bil bekalan tambahan.

“Ini berikutan masalah yang dihadapi berkaitan subsidi,” katanya ketika menggulung jawapan menteri mengenai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2023 di Dewan Rakyat pada Khamis (30 Mac).

Beliau ditanya oleh Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengapa tambahan RM60.17 bilion telah diminta oleh kerajaan untuk perbelanjaan tahun lepas, khususnya RM52.77 bilion oleh perbendaharaan.

“Bajet 2022 pada awalnya diramalkan berdasarkan harga minyak mentah pada USD60 (RM265) setong.

“Tetapi menjelang akhir tahun, harga minyak mentah melonjak sehingga USD110 (RM486) setong.

“Sebab itu peruntukan tambahan itu diperlukan untuk subsidi bahan api,” katanya.

Daripada peruntukan tambahan RM42 bilion untuk subsidi bahan api, beliau berkata, RM20.4 bilion adalah untuk diesel.

“Sebab itu kita pada masa ini melihat diesel sebagai subsidi bersasar.

“Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan bahawa pengusaha bas sekolah tidak akan terjejas di bawah subsidi yang disasarkan,” katanya.

Beliau berkata, program perisian blockchain untuk melaksanakan subsidi diesel disasarkan akan siap antara Julai dan September tahun ini.

Beliau juga berkata, peruntukan tambahan itu juga digunakan untuk subsidi bil elektrik (RM5bilion), subsidi telur ayam dan ayam (RM1.8bilion) dan bayaran khas Hari Raya untuk penjawat awam (RM1bilion) dan RM1.2bilion untuk doktor kontrak antara lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button