Berita Utama

Ganti KM Melaka mungkin undang masalah besar kepada UMNO

Pengundi akan beralih kepada parti lawan sebagai tanda protes

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 9 Ramadan 1444H, Jumaat – BERJASA tidak menolak kemungkinan peletakan jawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali secara tiba-tiba disebabkan desakan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi dan akan memberi kesan besar kepada UMNO sendiri.

Presidennya, Ustaz Zamani Ibrahim menyifatkan krisis politik di Melaka adalah lanjutan masalah yang telah berlaku di negeri itu sebelum ini.

“Sepatutnya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertindak matang dan tidak terburu-terburu ‘merestui’ peletakan jawatan berkenaan memandangkan masa ini berhampiran musim Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Jadi tak tidak mustahil pengundi protes dan tunjuk kuasa mereka dengan beralih arah kepada parti lawan sebagai tanda tidak setuju keputusan presiden UMNO.

“Sepatutnya Zahid merapatkan hubungan dan menyelesaikan masalah dalaman parti itu sendiri dan bukannya melebarkan jurang perselisihan yang berlaku dalam kalangan UMNO sendiri,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai krisis politik melibatkan peletakan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka dan dilaporkan akan digantikan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Mohd Rauf Yusof.

Pada masa sama, Ustaz Zamani berpandangan, penggantian Ketua Menteri baharu itu sebagai tindakan membodohkan rakyat Melaka kerana semasa PRN dahulu, rakyat dicanang untuk terus mengekalkan Sulaiman sebagai Ketua Menteri.

Namun, sayangnya, janji itu tidak ditepati sehingga PRN sebaliknya ‘menggantikan’ orang kanannya sendiri untuk memegang jawatan utama di Melaka.

Ustaz Zamani menyifatkan Zahid kini sedang menggunakan kuasanya demi mengukuhkan kedudukan dengan mengangkat orang kanan yang selama ini setia bersamanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button