Berita Utama

Parlimen Turkiye ratifikasi permohonan Finland sertai NATO

Semua 276 Ahli Parlimen sebulat suara terima penyertaan negara Nordik

ANKARA, 9 Ramadan 1444H, Jumaat – Kesemua 276 Ahli Parlimen Turkiye yang hadir mengundi menyokong bidaan Finland, menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), hanya beberapa hari selepas Parlimen Hungary mengesahkan penyertaan negara berkenaan.

Parlimen Turkiye akhirnya meratifikasi permohonan Finland menyertai NATO, sekali gus menghapuskan halangan terakhir dalam penyertaan negara Nordik itu yang sekian lama tertangguh dalam pakatan tentera Barat.

Setiausaha Agung NATO, Jen Stoltenberg dalam Twitter mengalukan penyertaan berkenaan sambil menyifatkan tindakan itu akan menjadikan keluarga NATO lebih kuat dan selamat.

Atas dasar bimbang dengan pencerobohan Russia ke atas Ukraine sejak setahun lalu, Finland dan Sweden meninggalkan dasar ketidakselarasan terhadap NATO sejak beberapa dekad dan kembali memohon menyertai pakatan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Turkiye, Akif Cagatay Kilic mengucapkan selamat datang kepada Finland dan mengakui sedar banyak pihak yang memerhati tindakan Turkiye kepada negara itu selama ini.

“Sebagai anggota NATO, kami sememangnya mempunyai sasaran dan permintaan berhubung kebimbangan keselamatan negara kami,” katanya.

Dalam bidaan berkenaan, sebulat suara diperlukan bagi membolehkan NATO menerima penyertaan berkenaan dan Turkiye dan Hungary merupakan dua ahli terakhir yang meratifikasi penyertaan Finland.

Sebelum ini usaha dua negara menyertai perikatan berkenaan dibiarkan tergantung dengan keadaan Turkiye dan Hungary menangguhkan untuk memberikan lampu hijau walaupun menyatakan sokongan untuk NATO menambah keahlian.

Turkiye sebelum ini, menuduh Sweden terlalu berlembut terhadap kumpulan yang dianggap pengganas dan memberi ancaman keselamatan termasuk kumpulan militan Kurdish.

Malah, Turkiye meluahkan rasa marah dengan beberapa siri demonstrasi di Sweden termasuk bantahan aktivis anti-Islam yang membakar al-Quran di luar kedutaan Turkiye di Sweden.

Hungary pula berpandangan ahli politik Sweden telah membuat kenyataan tentang keadaan demokrasi Hungary selain memainkan peranan aktif dalam memastikan billion dana Kesatuan Eropah (EU) dibekukan atas dakwaan pelanggaran peraturan undang-undang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button